Pakatan kalah di Selangor tanpa kerjasama BN, kata pemimpin Umno


Mohd Farhan Darwis

Pemuda Umno Selangor berkata Pakatan Harapan berisiko hilang penguasaan di Selangor dalam pilihan raya negeri akan datang tanpa kerjasama dengan Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei 2023.

PAKATAN Harapan (PH) berisiko hilang penguasaan di Selangor dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang tanpa kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), kata pemimpin Umno.

Ketua Pemuda Umno Selangor Mohd Imran Tamrin berkata BN yang kini menguasai lima kerusi juga bakal kehilangan semua kerusi tanpa kerjasama itu.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, PH tetap memerlukan mereka walau prestasi BN teruk merudum sejak pertama kali gagal mempertahankan Selangor dalam pilihan raya umum 2008.

“Maksudnya, tanpa Umno dan BN, PH juga mungkin boleh kehilangan negeri Selangor… Sama juga dengan Umno dan BN.

“Kalau kita bergerak secara solo ataupun bersendiri dalam PRN ini, mungkin kita tak boleh menang banyak kerusi, dan mungkin juga kita tak boleh membentuk kerajaan bersama.

“Mungkin kita boleh jadi satu parti yang sangat minoriti. Kalau jadi pembangkang ataupun jadi bebas pun, tak boleh memberikan satu tentangan ataupun satu semak imbang yang kukuh di negeri Selangor,” katanya.

Dalam wawancara itu, Moh Imran berkata BN mencapai rekod terbaik menang 54 daripada 56 kerusi DUN Selangor dalam PRU11 pada 2004.

Namun bilangan kerusi dimenangi mereka terus berkurangan dalam siri pilihan raya berikutnya iaitu kepada 20 kerusi pada 2008, 12 kerusi pada 2013, dan empat kerusi pada 2018.

BN berjaya menambah satu kerusi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih menjadikan mereka menguasai lima kerusi pada waktu ini.

Ketua Pemuda Umno Selangor Mohd Imran Tamrin berkata Barisan Nasional yang kini menguasai lima kerusi juga bakal kehilangan semua kerusi tanpa kerjasama dengan Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight, 16 Mei 2023.

Rekod PH di Selangor pula terus meningkat daripada 36 kerusi pada 2008 kepada 44 kerusi pada 2013 dan menjadi semakin kukuh apabila kerusi dimenangi meningkat kepada 51 pada 2018.

Gabungan itu hilang beberapa kerusi akibat pengkhianatan dan percaturan politik selepas PRU14, antaranya tindakan parti serpihan Umno iaitu Bersatu yang keluar dari gabungan PH .

Bersatu kini membentuk kerjasama dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).

Mohd Imran berkata, keputusan PRU15 menunjukkan PN mampu mengancam kedudukan BN dan PH dengan kejayaannya menawan enam kerusi Parlimen di Selangor.

Kawasan Parlimen tersebut meliputi Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjung Karang, Hulu Selangor, Kapar dan Kuala Langat.

Sebahagian daripada 15 kerusi negeri dalam kawasan Parlimen tersebut merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu.

Justeru, PH dan BN tiada banyak pilihan selain menghadapi PN yang merupakan seteru utama mereka itu bersama-sama, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu.

“Jadi, setiap parti mempunyai tanggungjawab yang sama, kita tak boleh kata Umno boleh berdiri tanpa PH, PH boleh berdiri tanpa Umno ataupun BN.

“Sebab demografi politik yang kita lihat yang ada pada hari ini, mana-mana pihak sekiranya tidak berhati-hati, maka sebenarnya PN akan mendapatkan kelebihan.

“Jadi dalam kelebihan yang dalam pada PN tersebut. Kita mempunyai peluang untuk mengeluarkan PN,” katanya.

Mohd Imran juga menganjurkan agar kedua-dua gabungan menyesuaikan diri bagi melengkapi antara satu sama lain dan mengetepi perbezaan.

“Kedua-duanya perlu bersama-sama menang untuk bentuk kerajaan kukuh, kuat, dan stabil untuk berikan kelebihan dan manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.

PH dan BN bekerjasama dengan GPS dan GRS membentuk kerajaan perpaduan selepas keputusan PRU15 menunjukkan tiada parti yang mendapat majoriti menubuhkan kerajaan.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menganjurkan konvensyen pertama kerajaan perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hujung minggu lepas.

“Kerjasama (dalam kerajaan perpaduan) ini termeterai secara rasmi pada 14 Mei, melalui konvensyen kerajaan perpaduan yang dimulakan dengan konvensyen Pemuda dan Puteri.

“Pemuda kerajaan yang akan digerakkan dalam format PRN nanti akan memberi nilai tambah kepada gerak kerja mendekati pengundi khususnya orang muda,” tambah Mohd Imran. – 16 Mei 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen