TIDAK diiktiraf di tanah air sendiri di Myanmar dan tidak berupaya melihat kembali masa silam mereka untuk mencari ketenangan dan keselesaan, ribuan pelarian Rohingya di Malaysia kini meletakkan seluruh harapan masa depan mereka pada sekeping kad.
Setiap pagi, deretan pelarian berkumpul beratur di luar bangunan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), membawa testimoni mengenai keterdesakan masyarakat Rohingya untuk mendapatkan kad pengenalan agensi itu.
Kad itu akan secara rasmi mengiktiraf pencari suaka sebagai pelarian, memberikan mereka sedikit status sah, dan bagi sesetengah mereka ia dapat meletakkan nama dalam senarai menunggu untuk dihantar ke negara baharu di mana mereka akhirnya dapat membina semula kehidupan.
Suasana di luar bangunan UNHCR di Kuala Lumpur itu tidak berubah. Setiap pagi mereka beratur panjang di situ mencuba nasib bagi mendapatkan kad tersebut.
Salah seorangnya, etnik Rohingya Salleh Salamutullah, 26, yang beratur seawal 6 pagi berkata dia sudah beberapa kali ke bangunan itu untuk mendapatkan kad.
Katanya, dia bekerja sebagai tukang sapu sampah dan menetap di Ampang sejak empat tahun lepas tanpa kad UNHCR.
“Saya ke sini beberapa kali tapi mereka (UNHCR) hanya kata akan panggil semula. Saya perlu tunggu kira-kira enam hingga lapan bulan untuk mereka menghubungi saya semula,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menceritakan pengalaman diseludup sindiket untuk ke Malaysia, Salleh berkata dia meredah lautan dari Myanmar ke Thailand sebelum tiba Sungai Petani, Kedah dengan menaiki bot bersama etnik Rohingya yang lain.
Katanya, untuk perjalanan itu dia meminjam wang daripada orang sekeliling dan bergolak bergadai untuk membayar RM7,000 kepada sindiket.
Sangat mengecewakan apabila sudah berhabis wang untuk ke Malaysia demi menyelamatkan diri tetapi kemudian perlu menunggu bertahun-tahun bagi mendapatkan kad.
Tidak tahu polisi sebenar UNHCR
Kisah Salleh bukan perkara baharu. Ia sama seperti 100,000 pelarian Rohingya di negara ini, kata Presiden Rohingya Society in Malaysia (RSM) Faisal Islam Muhammad Kassim.
Faisal mendakwa setakat ini, kira-kira 40,000 daripada jumlah itu masih tidak mempunyai kad UNHCR.
“Sebenarnya kami tidak tahu apa polisi UNHCR bagi Rohingya untuk mendapatkan kad. Ia sangat sukar untuk mereka hidup di sini tanpa kad itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Faisal berkata pelarian Rohingya datang ke Malaysia kerana majoriti mempunyai keluarga, saudara-mara, rakan kampung atau rakan di sini.
Mereka perlu membayar sejumlah wang yang ditetapkan sindiket pemerdagangan manusia untuk ke sini.
Pada Mei 2015, Langkawi menjadi lokasi pendaratan pendatang tanpa izin (PATI) apabila seramai 1,158 pelarian Rohingya termasuk Bangladesh memasuki negara secara haram di pulau peranginan itu.
Insiden itu berlaku apabila negara jiran di Thailand memerangi sindiket pemerdagangan manusia secara besar-besaran selepas menemui lebih 30 mayat ditanam di selatan negara itu beberapa minggu sebelum pendaratan pendatang di Langkawi ditemui.
Malaysia kemudiannya dikejutkan dengan sindiket pemerdagangan manusia yang menempatkan etnik Rohingya di Puncak Bukit Wang Burma di Wang Kerian, Perlis iaitu lokasi sama penemuan 139 kubur besar mangsa pemerdagangan manusia.
Faisal berkata ada pelarian yang jual tanah mereka untuk sampai di sini.
“Ada juga keluarga atau rakan mereka yang sudah berada di Malaysia membayarkan wang kepada sindiket.
“Kadang-kadang keluarga atau rakan pelarian terpaksa meminjam wang untuk menyelamatkan mereka,” katanya.
Rohingya ialah kumpulan etnik majoriti beragama Islam yang tinggal di negeri Rakhine (sebelum ini dikenali sebagai Arakan) di Myanmar.
Akta Kewarganegaraan 1982 Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai salah satu etnik Myanmar dan mereka tidak mendapat hak kewarganegaraan.
Proses bergantung pada tahap kerumitan kes
Pengkaji etnik Rohingya di Insititut Asia Eropah, Universiti Malaya, Azlinariah Abdullah berkata prosedur yang ditetapkan UNHCR untuk pelarian mendapatkan kad itu dijalankan dengan teliti dan berperingkat kerana suruhanjaya itu perlu memastikan kesahihan pelarian tersebut.
“Apabila pelarian itu mendarat di pantai negara kita, di Langkawi misalnya, mereka akan tiba di kem tahanan Belantik dan dibahagikan dalam kategori tertentu - lelaki, wanita dan kanak-kanak.
“Pegawai UNHCR akan menemu ramah mereka bertanyakan soalan berhubung saudara-mara mereka dan dari situ pegawai dapat mengenal pasti loghat mereka sama ada benar-benar etnik Rohingya atau Benggali,” katanya.
Menurut kenyataan UNHCR kepada The Malaysian Insight kad hanya akan dikeluarkan kepada mereka yang disahkan sebagai pelarian dan mereka yang memerlukan perlindungan antarabangsa.
“Memandangkan setakat ini tiada peruntukan undang-undang atau pentadbiran diadakan untuk mengendalikan isu pencari suaka atau pelarian di negara ini, maka UNHCR bertanggungjawab menguruskan hal berkaitan penerimaan, pendaftaran, dokumentasi dan status penentuan bagi pencari suaka dan pelarian,” kata UNHCR dalam satu kenyataan.
Azlinariah berkata, ada pelarian yang hanya menjalani temuduga yang singkat dan ada juga beberapa siri temu duga untuk memastikan mereka tidak menyamar sebagai pelarian Rohingya.
“Pelarian pula terdiri daripada pemohon suaka yang dikategorikan kepada tiga bahagian; ekonomi, politik atau mengalami konflik di negara asal. UNHCR akan mengkategorikan mereka sehingga berpuas hati,” katanya.
Katanya, UNHCR Malaysia mengendalikan pelarian dengan memberi tiga pilihan sama ada dihantar pulang ke negara asal mereka, diberi penempatan sementara atas dasar kemanusiaan atau penempatan semula ke negara ketiga. – 7 Jun, 2017.
Komen