Pengeksport durian Malaysia tidak terkesan dengan saingan dari China


Angie Tan

Pekebun durian di Malaysia tidak bimbang dengan ancaman durian yang ditanam di China kerana buah itu lebih berkualiti jika dari pokok yang matang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2023.

PEKEBUN “raja buah-buahan” Malaysia menolak kebimbangan durian yang ditanam di China adalah ancaman kepada perniagaan mereka untuk mengeksport ke pasaran negara itu yang menguntungkan.

China menjangkakan penuaian pertama durian yang ditanam di pulau tropika Hainan pada bulan depan.

“Kami tidak terlalu bimbang,” kata Presiden Persatuan Pengeksport Durian Malaysia Sam Tan kepada The Malaysian Insight.

“Kami masih mempunyai kelebihan daya saing. Durian yang kita eksport adalah daripada pokok matang, bukan daripada pokok muda,” katanya.

Tan berkata pengeksport Malaysia hanya perlu memulakan usaha pendidikan dan menerangkan kepada pengguna China mengapa durian Malaysia lebih berkualiti daripada durian tempatan mereka.

“Mereka juga perlu memberikan tunjuk ajar bagaimana untuk menjadi arif dan bagaimana membezakan durian berkualiti baik dan durian kurang berkualiti,” katanya.

Tambahnya durian tumbuh secara semula jadi di Malaysia kerana tanah dan iklimnya sangat sesuai untuk menanam buah berduri.

Tan berkata durian Musang King yang ditanam di Malaysia pastinya lebih berkualiti berbanding Musang King yang ditanam di China.

“Kualiti buah bergantung pada umur pokok,” kata Tan.

Lebih tua, lebih baik.

Beliau berkata pokok-pokok durian di China berusia paling lama antara lima hingga enam tahun dan ia berbeza dengan pokok ditanam mereka yang jauh lebih matang.

Beliau menjelaskan isi durian Musang King “akan terasa ringan” jika ia daripada pokok muda.

“Ia akan lebih elok jika pokok-pokok itu lebih tua,” katanya.

Tetapi Tan memberi amaran kepada pengeksport Malaysia untuk tidak leka.

Beliau percaya kelebihan semasa yang mereka miliki mungkin untuk jangka pendek sahaja.

“Kami tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Tiada apa jaminan.

“Kita harus sentiasa berada di hadapan dan seiring dengan kemajuan teknologi dalam bidang pertanian untuk kekal di hadapan,” katanya.

Tan juga menafikan ancaman durian China terhadap industri tempatan dan berkata ancaman terbesar yang mereka hadapi sekarang ialah kelembapan ekonomi dan kesannya terhadap industri. – 15 Mei, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen