Kerajaan komited pulih ekonomi, tadbir urus baik, kata Fadillah


Ravin Palanisamy Mohd Farhan Darwis

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 diadakan selama sehari buat pertama kali selepas kerajaan dibentuk pada pilihan raya umum tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 April, 2023.

KERAJAAN perpaduan komited dan menumpu pada memulihkan ekonomi negara serta mengamalkan tadbir urus yang baik, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata ia adalah antara keutamaan utama kerajaan perpaduan.

“Daripada rumusan semua ucapan (yang dibuat pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Nasional), termasuk ucapan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim), saya boleh simpulkan ia adalah komitmen kerajaan perpaduan ini untuk memastikan ia memberi tumpuan terutama sekali kepada pemulihan ekonomi negara dan (amalan) tadbir urus yang baik yang akan memberi manfaat kepada rakyat,” kata Fadillah kepada pemberita hari ini selepas Konvensyen Kerajaan Perpaduan Nasional yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Konvensyen yang julung kali diadakan itu menyaksikan pemimpin parti membincangkan dan berikrar untuk menyelesaikan masalah rakyat termasuk isu ekonomi, pembangunan masa depan negara bangsa, konsep madani dan pelaksanaan agenda rakyat.

Fadhillah, timbalan perdana menteri pertama dari Sarawak dalam barisan Kabinet mengucapkan terima kasih kepada sekretariat kerajaan perpaduan kerana menganjurkan konvensyen seumpama itu yang didakwanya mendapat sokongan daripada rakyat setiap peringkat.

“Daripada kepimpinan tertinggi parti yang membentuk kerajaan perpaduan dan semua yang hadir hari ini, ia adalah respons yang tidak dijangka,” kata ketua Whip Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 diadakan selama sehari buat pertama kali selepas kerajaan dibentuk pada pilihan raya umum tahun lalu.

Kerajaan perpaduan terdiri daripada 19 parti komponen termasuk BN, PH dan GPS.

Konvensyen bertemakan “Madani – Mewajahi Masa Depan Malaysia” sebahagian usaha memupuk perpaduan dalam kalangan bekas parti pesaing tersebut menjelang pilihan raya yang akan berlangsung di enam negeri. – 14 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen