Anwar hargai jasa Umno, GPS tubuh kerajaan perpaduan


Mohd Farhan Darwis Ravin Palanisamy

Anwar Ibrahim berkata, beliau juga dapat memimpin kerajaan hari ini dengan dukungan GPS pimpinan Premier Sarawak Abang Johari Openg. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Mei, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaan terhadap sokongan 30 ahli Parlimen Umno yang menyokongnya sehingga membolehkan kerajaan perpaduan dibentuk.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau juga dapat memimpin kerajaan hari ini dengan dukungan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak Abang Johari Openg.

“Saya nak beritahu kalaulah tidak kerana komitmen Ahmad Zahid selaku presiden Umno, dan dukungan ahli Parlimen Umno sejarah kita tentu berubah.

“Kita harus iktiraf peranan beliau dan Umno juga kalau daripada Yang di-Pertuan Agong sendiri dalam kerajaan kritikal itu, Abang Jo dan GPS penentunya,” kata Anwar.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian ketika berucap di Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan kali pertama di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Presiden PKR itu berkata, walaupun banyak pihak yang menganggap kerajaan yang didukung 19 parti dan 148 ahli Parlimen itu tidak bertahan lama, perhimpunan hari ini membuktikan sebaliknya.

Malah, beliau mengharapkan kerajaan dipimpinnya mampu bertahan sehingga ke pilihan raya umum akan datang.

“Kita bangga, Alhamdulillah, kita dapat tubuh kerajaan dan kerajaan tidak dijangka (bertahan). Ada yang kata (bertahan sehingga) mungkin tiga bulan, sebelum puasa, sebelum raya Cina, sebelum raya, sebelum Raya Haji.

“Tetapi Alhamdulillah dengan konvensyen hari ini memberikan petunjuk yang jelas kepada rakyat Malaysia dan dunia kerajaan ini bukan sahaja stabil tetapi insya-Allah kekal sehingga pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan perlu kekal untuk memastikan tatakelola yang baik, menghentikan rasuah serta salah guna kuasa dan memacu pertumbuhan demi nasib rakyat.

Dalam ucapan di hadapan kira-kira 3,500 perwakilan dan pendukung kerajaan itu beliau juga berkata tujuan gabungan itu berbeza dengan kumpulan lain.

“Ada orang bersatu untuk kukuhkan dan menyelamatkan mereka, ada yang bersatu untuk teruskan cara lama memunggah kekayaan dan khazanah negara untuk sanak-saudara.

“(Tetapi) kita bersatu untuk meninggalkan kerosakan lama dan bina kerajaan berteraskan madani dan tamadun,” katanya.

Konvensyen bertemakan “Madani – Mewajahi Masa Depan Malaysia” sebahagian usaha memupuk perpaduan dalam kalangan bekas parti pesaing tersebut menjelang pilihan raya yang akan berlangsung di enam negeri. – 14 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen