PRESIDEN Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengalihkan persoalan berkaitan permohonan parti itu untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).
“Sebaik-baiknya soalan itu diajukan kepada kepimpinan PH.
“Seperti setiap orang sedia maklum, kami sudah menghantar surat sebanyak tiga kali. Lebih baik mereka yang menjawab mengenainya,” kata ahli Parlimen Muar itu kepada pemberita selepas konvensyen nasional kerajaan perpaduan.
Kepimpinan PH masih belum membuat keputusan berhubung permohonan Muda untuk menjadi sebahagian daripada gabungan itu.
Parti pemuda itu memohon menyertai gabungan itu tahun lalu sebelum pilihan raya umum pada November.
Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau terlalu sibuk dengan tugasnya sebagai menteri sehingga tidak dapat membaca surat permohonan Muda.
Muda, yang tidak menyertai dua mesyuarat pertama sekretariat kerajaan perpaduan, dijemput menghadiri konvensyen hari ini.
Syed Saddiq menghargai jemputan dihulurkan kepada parti itu.
“Baguslah kami dijemput hari ini.
“Ia satu petanda baik hari ini kita memberi tumpuan kepada pembaharuan dasar yang membantu kehidupan rakyat Malaysia biasa,” katanya di luar konvensyen kerajaan perpaduan.
Bekas menteri belia dan sukan itu juga berkata dengan kestabilan pentadbiran kerajaan perpaduan sekarang, mereka boleh memberi tumpuan kepada hak belia serta membantu rakyat. – 14 Mei, 2023.
Komen