Yeo Bee Yin bakal bertanding di kerusi Parlimen Bakri, kata sumber DAP


Ooi Choong Han

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damansara Utama Yeo Bee Yin akan bertanding di kerusi Parlimen Bakri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata sumber DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2018.

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Damansara Utama Yeo Bee Yin akan bertanding di kerusi Parlimen Bakri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata sumber DAP. 

Beliau yang juga penolong setiausaha Publisiti DAP bakal mengantikan Er Teck Hwa yang memegang kerusi itu selama dua penggal. 

Yeo, bagaimanapun enggan mengesahkan atau menafikan perkara itu ketika ditanya The Malaysian Insight. 

Pengumuman rasmi pencalonannya dijangka akan dibuat dalam masa beberapa hari lagi.

“Saya rasa pengumuman itu akan dibuat dekat Muar,” katanya. 

Pakatan Harapan (PH) akan menjalankan empat aktiviti di Muar dan Bakri pada Sabtu. 

DAP merampas kerusi berkenaan daripada MCA pada pilihan raya umum 2008. 

Sebelum itu Bakri adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN). Kerusi itu disandang pemimpin MCA Chua Jui Meng sejak 1986. 

MCA tidak meletakkan Jui Meng sebagai calon pada 2008, yang merupakan menteri kesihatan dari 1995 hingga 2004.

Er kemudian berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bakri sejak PRU13 pada 2013. 

Bagaimanapun, meletakkan Yeo sebagai calon Bakri mungkin mendatangkan risiko.

Seorang lagi sumber parti memberitahu The Malaysian Insight terdapat rungutan daripada akar umbi ekoran keputusan untuk mengantikan Er dengan Yeo. 

“Yeo mungkin tak dapat sokongan tempatan kerana pemimpin akar umbi yang ada pengalaman pilihan raya enggan untuk menyokong beliau,” kata sumber itu. 

Sumber itu berkata, selain Er, DUN Bentayan, di bawah Parlimen Bakri, bakal menyaksikan penyandangnya Chua Wee Beng disingkirkan. 

Sumber tempatan di Bakri memberitahu The Malaysia Insight bahawa Setiausaha Organisasi DAP Johor Won Yi Hao akan dijadikan calon mengantikan Wee Beng. 

Er enggan mengesahkan atau menafikan sama ada partinya meminta beliau memberi laluan kepada Yeo untuk mempertahankan kerusi Bakri.

“Saya rasa saya patut serahkan kepada parti untuk umumkan siapa yang akan bertanding di Bakri,” katanya.

“Bagi saya secara peribadi, saya akan adakan sidang media pada tengah hari esok (Khamis) mengumumkan mengenai rancangan masa depan saya.”

Difahamkan Er sudah bersetuju dengan cadangan parti untuk meletakkan Yeo sebagai calon kerusi Bakri. Beliau dijangka mengumumkan perkara itu esok pada sidang media di Parlimen. 

Di pihak MCA pula, parti komponen BN itu dijangka akan mempertaruhkan Pemangku Pengerusi Cawangan Bakri Lee Ching Yong. 

Lee bertanding di Bakri pada PRU13 tetapi kalah kepada Er dengan 5,067 undi. 

Menurut data pilihan raya 2013, Bakri mempunyai 67,202 pengundi berdaftar dan merupakan kerusi majoriti Cina. Kaum Cina terdiri daripada 54% pengundi di kawasan itu, diikuti Melayu (44%), India (2%) dan lain-lain (1%).

Yeo semasa pelancaran buku terbarunya minggu lepas berkata akan meninggalkan Selangor untuk bertanding di Johor. 

DAP juga berharap yang Yeo dapat menjalinkan kerjasama baik dengan calon PH lain di negeri itu, yang berkemungkinan besar dapat dirampas gabungan itu dalam PRU akan datang. 

Bakri adalah sebuah kerusi Parlimen di utara Johor bersebelahan Muar dan Pagoh, kerusi yang akan ditandingi Bersatu. 

Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan bertanding di Muar, berhadapan penyandang selama tiga penggal yang juga timbalan menteri Razali Ibrahim. 

Kerusi Pagoh disandang Presiden Bersatu dan bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin, yang dijangka mempertahankan kerusi itu. – 21 Mac, 2018.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • bertanding jela dekat mana. hak dap nak letak sapa pun. dan kalau rakyat tak pilih nanti jangan nak kata rakyat bodoh pulak. ok? pilihan ditangan rakyat. bukan kamu yang menentukan rakyat wajib pilih siapa.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan