KONVENSYEN nasional kerajaan perpaduan, yang mana pemimpin dan wakil daripada 19 parti politik dalam kerajaan perpaduan berkumpul hari ini, memberi peluang untuk menjalin kerjasama yang lebih kukuh, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, beliau berbangga dengan parti dalam kerajaan perpaduan, yang sanggup mengetepikan perbezaan mereka dan bekerjasama dalam usaha mengukuhkan perpaduan di negara ini.
“Dengan pelancaran konvensyen ini, ia menjadi satu komitmen bagaimana kita mahu memastikan perpaduan ini dapat diperkukuhkan bukan sahaja dalam kalangan parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan, malah membawa agenda perpaduan ini ke seluruh negara.
“Asas kekuatan sesebuah negara adalah perpaduan dalam kalangan semua lapisan masyarakat, tidak kira dari segi politik, perniagaan mahupun sosial.
“Jika kita boleh bersatu, insya-Allah, orang lain akan menyertai kita untuk membina negara yang lebih kukuh, harmoni dan makmur,” kata Fadillah hari ini semasa konvensyen nasional kerajaan perpaduan yang julung kali diadakan di Pusat Dagangan Dunia.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada sayap pemuda dalam parti politik kerajaan perpaduan kerana mempunyai pemikiran yang sama, mahu mencipta yang terbaik untuk negara.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada ahli belia kerajaan perpaduan ini atas apa yang mereka lakukan, kerana saya mahu mereka dan kita semua berusaha mencari titik persamaan dan tidak menumpukan pada perbezaan kita.
“Akhirnya, apa yang kita mahu adalah memajukan negara dan meningkatkan ekonomi kita.
“Fokus belia harus tertumpu kepada perkara ini dan dengan mengusahakannya, kita boleh membantu membangunkan negara bersama-sama dan meraikan kerajaan perpaduan kita dan konsep Madani,” tambah Fadhillah, timbalan perdana menteri pertama dari Sarawak.
Konvensyen nasional kerajaan perpaduan bertemakan “Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia” adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan bekas parti yang bertelagah dalam persediaan menjelang pilihan raya negeri akan datang di enam negeri. – 14 Mei, 2023.
Komen