PEGUAM dan aktivis Ambiga Sreenevasan yang baru-baru ini menerima anugerah tertinggi juri di Sepanyol, berharap Malaysia akan lebih serius dalam menangani isu hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.
Merujuk kepada Pingat Kehormat Ruth Bader Ginsburg Persatuan Juris Sedunia 2023 yang diterimanya daripada Raja Sepanyol Felipe VI baru-baru ini, bekas presiden Majlis Peguam itu berkata dunia kini mengikuti rapat Malaysia melihat cara ia mengendalikan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang di negara ini.
“Saya percaya anugerah ini pengiktirafan oleh jawatankuasa antarabangsa terhadap kerja aktivis yang berjuang untuk undang-undang dan hak asasi manusia di Malaysia dalam pelbagai cara.
“Dengan ini, saya berharap ada kesedaran tentang pentingnya hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang kepada juri di seluruh dunia dan kita diadili menerusi cara kita menganjurkan kedua-dua isu itu di Malaysia.
“Malaysia berada dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, jadi kita ada tugas, pada pandangan saya, untuk mempromosikan kepentingan isu ini, konsep asas di negara sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pada Selasa, Ambiga menerima anugerah itu sebagai menghargai tugasnya memperjuangkan bebasan pilihan raya dan hak asasi wanita dan manusia.
Ambiga antara lima penerima wanita yang dianugerahkan pengiktirafan itu atas kerja mereka memperjuangkan kedaulatan undang-undang, kesaksamaan dan memberi inspirasi kepada wanita lain.
Ambiga berkata beliau rasa terharu diberikan anugerah itu.
“Saya rasa sungguh bertuah dan terharu menerima anugerah ini, apatah lagi dapat menerimanya bersama wanita hebat lain yang berani memperjuangkan undang-undang dan hak asasi manusia di negara mereka,” katanya.
Ruth Bader Ginsburg dikenali sebagai wanita kedua yang menjadi hakim Mahkamah Agung AS. Beliau terkenal dengan kerja litigasinya mengenai kesaksamaan jantina dan hak wanita.
Beliau meninggal dunia pada September 2020 pada usia 87 tahun.
Persatuan Juris Sedunia diasaskan pada 1963 dan mempromosikan kedaulatan undang-undang di seluruh dunia. Tahun ini merupakan kali kedua persatuan itu menganugerahkan Pingat Ruth Bader Ginsburg.
Selain Ambiga, empat penerima lain ialah wanita pertama yang menjadi ketua hakim agung United Kingdom Brenda Hale, bekas ketua Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Fiji Imrana Jalal, bekas hakim Mahkamah Agung Afghanistan Asifa Kakar dan Navi Pillay dari Afrika Selatan.
Ambiga berkata Malaysia perlu terus berjuang untuk kesaksamaan dan maruah kemanusiaan untuk seorang individu.
Antara caranya, beliau berkata Malaysia perlu menjadi lebih inklusif.
“Kita perlu berani menentang perbezaan dan dalam apa jua bentuk ekstremisme jika kita mahu berjaya sebagai sebuah negara.
“Kita perlu lantang bersuara walaupun ada masanya kita tidak didengar.
“Kita hanya ada satu saja negara. Jika kita gagal menetapkannya di jalan yang betul, maka anak-anak kita kelak akan sengsara.”
Ambiga sebelum ini pernah menerima Anugerah Kedaulatan Undang-undang Komanwel ke-4 (2019) daripada Persatuan Peguam Komanwel, Anugerah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2018), Chevalier de Legion d’Honneur (Knight of the Legion of Honor) (2011) dan Setiausaha Negara AS Anugerah Wanita Keberanian Antarabangsa (2009). – 14 Mei, 2023.
Komen