Proklamasi Orang Melayu naskhah terakhir Dr Mahathir


SELEPAS Dasar Penswastaan, dasar Pandang Ke Timur, Wawasan 2020 dan lain-lain, Proklamasi Orang Melayu adalah naskhah terkini dan mungkin juga ia sebuah naskhah terakhir daripada Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang negarawan, untuk bangsa, agama dan negaranya.

Saya tak fikir dalam usia emasnya ini, akan ada lagi gagasan yang muncul dari buah fikiran Dr Mahathir selepas proklamasi ini.

Belum ada matlamat yang Dr Mahathir sasarkan itu gagal dicapai. Namun demikian, tentulah dalam setiap usaha untuk mencapai sesuatu matlamat itu, ada saja halangan atau beberapa kegagalan yang perlu dilalui seperti yang terbaru, kegagalan di PRU15 bersama Gerakan Tanah Air (GTA).

Namun, kegagalan itu adalah proses bagi Dr Mahathir. Atas nama perjuangan seorang negawaran, Dr Mahathir tidak mahu selesa berehat sebaliknya dia tetap bekerja dan terus berusaha hingga munculnya proklamasi ini.

Kenapa?

Selepas kegagalan pada PRU15, Dr Mahathir merasakan usahanya belum dapat diterima oleh pengundi. Bukan kerana usaha untuk menyatukan Melayu berwibawa itu tidak baik tetapi kejayaan itu tersekat kerana masalah dan kelemahan perkara yang bersifat kepartian dan organisasi.

Sebagai seorang negarawan yang berpengalaman luas, beliau menyedari tidak perlu lagi mengikat dirinya dengan parti. Baginya parti ini hanya soal perundangan, ia perlu untuk bertanding dalam pilihan raya.

Analoginya mungkin begini: Jika parti politik ini adalah sebuah kedai, hari ini kedai kurang penting kerana produk boleh dipasarkan secara atas talian. Begitulah keadaan berubah mengikut zaman.

Justeru, pengajaran dari PRU15 membuatkan beliau berfikir kembali dan merasakan sesuatu agenda itu harus bergerak bebas supaya ia dapat lebih mudah menyentuh semua orang Melayu tanpa mengira parti apa.

Dari mana ia datang?

Bagi Dr Mahathir, kelemahan negara berpunca dari kelemahan orang Melayu. Orang Melayu di Malaysia adalah kaum majoriti dan kaum majoriti ini juga bermakna mereka adalah kaum konsumer dan tenaga kerja yang terbesar dalam ekonomi negara.

Apabila kumpulan konsumer terbesar ini lemah kuasa belinya, lemah produktivitinya serta lemah dalam mengurus asetnya maka ekonomi negara secara keseluruhan akan turut bermasalah.

Namun, kelemahan orang Melayu ini semua bersebab. Bagi Dr Mahathir Melayu menjadi lemah kerana politik orang Melayu lemah. Kelemahan ini disebabkan matlamat perjuangan parti orang Melayu iaitu Umno sudah tersasar.

Umno tersasar dari perjuangannya kerana ahli Umno membiarkan pemimpin seperti Najib Razak menggunakan parti Melayu itu untuk kepentingan kuasanya.

Najib menyedari masalah orang Melayu ini malangnya beliau memilih jalan mudah iaitu dengan cara ‘cash is king’. Menerusi penggunaan wang, beliau membeli sokongan orang Melayu bukan untuk membantu menyelesaikan masalah orang Melayu.

Penyakit Kanser Bangsa

Budaya cash is king ini bukanlah ubat terhadap kelemahan ekonomi Melayu sebaliknya ia menjadi dadah yang akhirnya mengubah sikap orang Melayu untuk bertambah leka dan mula bergantung dengan wang pemberian pemimpin politik.

Pergantungan orang Melayu dengan wang pemberian ini sudah kronik hingga dianggap normal pada hari ini. Budaya cash is king ini bukan sahaja menjadi amalan Umno-BN, malah parti politik yang lain juga terikut sama. Buktinya boleh dilihat dalam kempen PRU15 lalu. Calon yang tiada wang dianggap tidak wujud sama sekali.

Ketamakan pada wang menyebabkan integriti pemimpin politik khususnya pemimpin Melayu menjadi lemah dan mudah dibeli oleh kumpulan berkepentingan iaitu kumpulan pemodal besar dan bangsawan.

Kerana wang dan kedudukan (kuasa), pemimpin Melayu menjual amanahnya, dan masalah orang Melayu terbiar.

Di sinilah bermulanya kerosakan dan kelemahan politik Melayu dan bahananya dirasai oleh kita semua khususnya umat Melayu.

Balik ke asal

Untuk keluar dari perangkap ini, Dr Mahathir berharap orang Melayu kembali kepada kekuatan asalnya iaitu bersatu tanpa mengira siapa atau parti apa, bekerja dengan jujur untuk membangunkan negara, bangsa dan memelihara kesucian agama Islam.

Dr Mahathir berkata jika Melayu bersatu tanpa kira parti, British dan Malayan Union pun kalah dan ia sudah terbukti.

Seyogia, Proklamasi Orang Melayu ini hadir di saat yang diperlukan ketika pemimpin dan orang Melayu sudah terjerat dan terperangkap dengan politik wang – cash is king.

Usaha ini sukar dimengerti oleh mereka yang terikat dengan politik wang dan jawatan.

Ya, usaha ini tidak mudah dan Dr Mahathir sebagai negarawan tidak akan sekali-kali memilih jalan mudah untuk mencapai maksudnya.

Sekalipun Dr Mahathir mempunyai harta berbillion ringgit, saya pasti tidak seringgit pun akan digunakan untuk membeli tandatangan untuk Proklamasi Orang Melayu. Ini soal maruah bangsa, agama dan negara. Nilai dan harganya bukan pada ringgit.

Ini naskhah Dr Mahathir yang terakhir. – 13 Mei, 2023.

* Mahdzir Ibrahim, Sekretariat Proklamasi Tanah Air.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen