BAGI pelarian Rohingya di Malaysia, mendapatkan kad identiti rasmi daripada Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menjadi talian hayat untuk menentukan mereka suaka sebenar atau hanya pendatang asing.
Tetapi proses yang terlalu lama dan tidak pasti, menyebabkan ramai pelarian mencari “orang tengah” yang boleh mendapatkan mereka kad itu dengan cepat, tetapi ada harganya.
Siti, seorang pemegang kad UNHCR berkata dia memperoleh kad itu melalui cara sedemikian.
Dia mengakui tidak ada cara lain selain membayar RM2,500 kepada komuniti haram etniknya di sini bagi mendapatkan kad itu segera.
“Saya pernah cuba memohon ke UNHCR tanpa bantuan sesiapa sebelum ini tapi tidak berhasil, jadi kawan saya suruh pergi kepada komuniti ini untuk mendapatkan kad,” katanya.
Siti berkata kad itu sahih dari UNHCR dan dia hanya perlu menunggu beberapa bulan untuk memperolehnya.
Ketika ditanya maklumat lanjut komuniti terbabit, Siti enggan mengulas kerana khuatir keselamatannya terjejas.
Seorang lagi pelarian, Salleh Salamutullah, 26, yang masih menunggu kad UNHCR itu sejak lima tahun lalu berkata rakannya pernah mencadangkan padanya mengenai “orang tengah”, tetapi dia tidak ada wang.
“Hidup di sini tanpa kad UNHCR susah. Kawan saya cakap kalau nak cepat saya kena bayar RM3,500. Saya tiada duit,” katanya ketika ditemui sedang beratur di depan pejabat UNHCR di Kuala Lumpur.
Statistik UNHCR mencatatkan peningkatan jumlah pelarian, di mana seramai 150,600 pelarian berdaftar dengan UNHCR di Malaysia pada akhir April tahun ini, berbanding akhir tahun lalu dengan jumlah pelarian 149,500.
UNHCR dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insight menafikan ada pihak ketiga yang dikatakan terlibat mempercepatkan pengurusan kad itu dan tidak membenarkan mana-mana pihak ketiga mengeluarkan dokumentasi bagi pihak mereka.
Katanya, semua dokumen rasmi yang dikeluarkan UNHCR adalah tanpa sebarang bayaran dan terus melalui UNHCR.
UNHCR berkata mereka akan mengenal pasti kumpulan dan individu yang paling terdedah kepada bahaya dan memerlukan perlindungan antarabangsa, di bawah mandat suruhanjaya itu.
“Walaupun semua orang mempunyai hak mendapatkan perlindungan, UNHCR Malaysia perlu mengutamakan mereka yang tergolong sebagai pelarian dalam tahanan imigresen atau pelarian yang terdedah kepada bahaya.
“Keutamaan juga diberi kepada yang hadir ke UNHCR melalui rakan rujukan termasuk agensi kerajaan, serta mereka yang ditemuduga dan UNCHR mendapati mereka memerlukan perlindungan dan sokongan kami,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, pengkaji etnik Rohingya di Institut Asia Eropah dari Universiti Malaya, Azlinariah Abdullah berkata beliau tidak menolak dakwaan wujud “orang tengah” itu kerana ada pengakuan pelarian Rohingya ketika menjalankan temuramah bersama mereka.
Azlinariah berkata memandangkan prosiding sebenar suruhanjaya itu dijalankan dengan sangat teliti dan memakan masa, terdapat antara etnik mereka sendiri mengambil kesempatan menawarkan bayaran untuk mempercepatkan proses memperoleh kad tersebut.
“Prosiding sebenar memang agak lama. Jadi ia mengundang beberapa tindakan pihak lain seperti rasuah contohnya di kalangan mereka sendiri (etnik Rohingya) yang mengatakan boleh hasilkan kad dalam masa cepat,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 7 Jun, 2017.
Komen