Projek tambak laut Pulau Pinang perlu kelulusan EIA baharu, kata aktivis


Sahabat Alam Malaysia berkata Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) baharu diperlukan selepas kerajaan negeri Pulau Pinang memutuskan untuk mengecilkan skop projek PSI daripada tiga kepada hanya satu pulau. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei 2023.

PROJEK Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) memerlukan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) baharu selepas kerajaan negeri memutuskan untuk mengecilkan skop projek daripada tiga kepada hanya satu pulau, kata Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Presidennya Meenakshi Raman berkata baharu diperlukan walaupun projek tersebut dikecilkan sebanyak 49% daripada jumlah keseluruhan asal 1,821 hektar.

“Memandangkan terdapat perubahan dalam konsep pembangunan, baik dalam reka bentuk atau kenyataan keperluan, kami  berpandangan EIA baharu mesti diperolehi,” katanya dalam kenyataan.

Meenakshi berkata satu daripada 71 syarat ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) ke atas EIA yang diluluskan pada 11 April lalu menyatakan kelulusan baharu daripada ketua pengarah JAS diperlukan sekiranya berlaku sebarang perubahan konsep pembangunan.

“Oleh itu, kerajaan negeri perlu mendapatkan semula kelulusan JAS memandangkan sekarang hanya satu pulau sahaja yang akan dibina.

“Contohnya, perlu ada  penilaian impak hidraulik dan hidrologi baharu meliputi aliran semasa, paras air, keadaan ombak, pemendapan dan hakisan serta lain-lain. Ini akan berubah apabila projek itu kini hanya mempunyai satu pulau dan bukannya tiga pulau seperti yang dirancang sebelum ini,” katanya.

Kata Meenakshi lagi, kajian migrasi udang yang diperlukan lebih awal di bawah EIA yang diluluskan sebelum ini juga masih belum selesai.

Menurutnya, ia merupakan komponen penting untuk dinilai memandangkan penambakan Pulau A melibatkan 930.78 hektar, yang masih akan memberi kesan terhadap hidupan marin, migrasi udang, keselamatan makanan dan sebagainya.

“Malah pula keperluan bagi projek juga telah berubah, memandangkan kerajaan persekutuan kini menyediakan dana yang diperlukan untuk menangani masalah pengangkutan di Pulau Pinang.

“Kerajaan negeri tidak boleh bergantung kepada kelulusan EIA terdahulu dan meneruskan dengan pelan pengurusan alam sekitar memandangkan perubahan-perubahan yang telah berlaku,” jelasnya.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow umum projek PSI kini dikurangkan daripada tiga kepada hanya satu pulau sahaja.

Chow dilapor media berkata, keputusan itu selari dengan permintaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Projek tambak laut itu hanya akan melibatkan kawasan 930.1 hektar atas sebuah pulau di selatan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang berbanding tiga pulau berkeluasan 1.821 hektar sebelum ini, katanya. – 12 Mei 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen