SEORANG pemilik bengkel kereta memberitahu siasatan awam yang polis meminta beliau menandatangani kertas kosong ketika memberi keterangan mengenai aktivis Amri Che Mat.
Pemilik JST Auto BJ. Vee Yak, 35, memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang pegawai polis (Inspektor Muhammad Husyairi Musa) meminta beliau menandatangani kenyataan itu pada 16 Oktober tahun lepas.
“Pegawai polis itu berkata beliau baru dengan kes itu. Memandangkan saya sibuk kerana mempunyai pelanggan di bengkel, beliau meminta saya menandatangani kertas kosong bagi memudahkan urusan.
“Beliau juga mencatat kenyataan saya dan meminta disertakan nombor pengenalan saya pada kertas yang ditandatangani,” katanya.
Vee dipanggil oleh panel siasatan awam untuk memberi keterangan mengenai kenyataannya kepada polis yang beliau melihat beberapa kenderaan diparkir berhampiran rumah Amri beberapa hari sebelum hilang.
Vee memberitahu siasatan pada 4 November 2017, beliau pergi bersama peguam keluarga Amri, K. Muthiah, ke stesen IPD Kangar.
“Inspektor Khor kemudian menunjukkan kepada saya satu kenyataan yang ditandatangani.
“Saya membawa seorang peguam kerana bahasa Malaysia saya tidak begitu baik, dan saya memerlukan seseorang untuk menjelaskan kenyataan itu kepada saya,” katanya.
Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai kemudian menyoal pemerhati polis yang hadir berhubung prosuder menandatangani kertas kosong itu.
Beliau bertanya kepada polis jika ia merupakan prosedur operasi standard mereka bagi polis menyerahkan dokumen kosong (untuk ditandatangani).
“Pemerhati polis di sini boleh mereka jelaskan (isu ini)?” katanya.
Pemerhati polis Ketua Polis Sentul R. Munusamy kemudian menyerahkan kenyataan yang ditandatangani dan meminta Vee untuk mengesahkan tandatangan.
Beliau berkata apa yang ditandatangani Vee adalah laporan yang disediakan, dan bukan sekeping kertas kosong.
Munusamy kemudian menunjukkan laporan, lengkap dengan kenyataan dan tandatangan Vee dan memintanya untuk mengesahkan.
Vee kemudian mengesahkan itu adalah tandatangannya tetapi bertegas beliau diminta menandatangani kertas kosong.
Mah kemudian bertanya Vee jika apa yang ditulis oleh polis dan kenyataan yang diberikannya adalah benar, beliau menjawab “ya”
Amri, 43, diculik 550m dari rumahnya di Padang Behor, Kangar di Perlis pada penghujung 2016. Polis kemudian menemui keretanya di Bukit Chabang.
Beliau mempunyai empat anak perempuan, berumur antara 10 hingga 19 tahun.
Siasatan itu dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Mah, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.
Panel ini bertujuan untuk menentukan sama ada penculikan Pastor Raymond Koh dan Amri, serta kehilangan dua individu lain – Joshua dan Ruth Hilmy – pada 2016, adalah kes kehilangan yang dipaksa oleh pihak berkuasa. – 21 Mac, 2018.
Komen