MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menangguhkan perbicaraan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Rosmah Mansor sebanyak RM7 juta bagi membolehkan peguam negara mempertimbangkan surat representasinya bagi pertuduhan digugurkan.
Hakim perbicaraan K Muniandy diberitahu pada permulaan perbicaraan hari ini, Rosmah menyatakan “perkembangan baharu” dalam surat representasinya.
Pihak pembelaan kemudian mengemukakan permohonan mengosongkan perbicaraan yang dijadualkan hari ini.
Sementara itu pihak pendakwaan berkata ia memerlukan kira-kira dua bulan untuk meneliti surat representasi Rosmah.
Muniandy kemudiannya mengosongkan tarikh perbicaraan hari ini, 28 Jun, 6, 7, 28, dan 31 Julai, serta 1, 2, dan 11 Ogos.
Perbicaraan ditetapkan bermula pada 24 Ogos jika peguam negara menolak surat representasi.
Terdahulu peguam Rosmah, Geethan Ram Vincent berkata surat representasi bertarikh 3 Mei dan dihantar kepada peguam negara pada hari yang sama meminta pendakwa raya menarik balik 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan mengelak cukai.
Beliau berkata surat representasi itu memetik fakta tertentu daripada perbicaraan rasuah solar Rosmah yang mana beliau disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 10 tahun serta denda RM970 juta. Rayuannya sedang berjalan di Mahkamah Rayuan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengesahkan penerimaan representasi itu, berkata pihak pendakwaan memerlukan lebih kurang dua bulan untuk meneliti surat itu.
“Memandangkan surat representasi itu memetik beberapa fakta dan isu baharu yang dibangkitkan, saya perlu menyediakan penulisan baharu untuk memberi taklimat kepada pihak atasan dengan betul.
Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat bawah, 148 Jalan Ampang, Kuala Lumpur, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017, dan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, KL, antara 1 Mei 2014, dan 1 Mei 2018.
Pertuduhan pengubahan wang haram dirangka mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta tersebut, dengan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti menyalahi undang-undang atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan mengelak cukai di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 mendakwa Rosmah gagal mengemukakan penyata pendapatannya bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada ketua pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016 , 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah, mengikut Seksyen 112 bagi akta tersebut. – 12 Mei, 2023.
Komen