SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menolak dakwaan mereka sengaja mengada-adakan siasatan untuk mencemarkan nama seorang bekas menteri.
Agensi antirasuah itu berkata dakwaan bekas menteri konspirasi untuk tujuan mencemarkan namanya adalah tidak benar dan menjejaskan imej suruhanjaya itu.
“SPRM ingin menegaskan semua siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan maklumat serta bukti-bukti sahih yang diperolehi oleh Suruhanjaya ini.
“Kertas-kertas siasatan yang dilengkapkan dengan penemuan elemen-elemen kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 serta akta berkaitan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan itu SPRM tidak menamakan bekas menteri itu bagaimanapun ia dipercayai merujuk kepada bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin.
Semalam, ahli perniagaan Sim Choo Thiam didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta daripada ahli perniagaan lain, Hep Kim Hong pada Jun 2021.
Pihak pendakwaan berkata jumlah itu bertujuan sebagai dorongan untuk Hamzah membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn Bhd mendapatkan projek daripada kementeriannya.
Sim juga didakwa dengan tiga lagi pertuduhan menerima RM15 juta untuk mendapatkan projek daripada KDN. Dia mengaku tidak bersalah atas keempat-empat pertuduhan itu.
Hamzah kemudiannya dalam satu kenyataan berkata “individu dan ahli perniagaan tertentu” didesak untuk “menunding jari” ke arahnya.
“Saya tertanya-tanya kenapa nama saya disebut-sebut sedangkan saya tiada kaitan dengan perkara ini.
“Bila diperhalusi keempat-empat pertuduhan itu, ia menyebut suapan adalah mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri. Jadi apakah projek yang menjadi hal perkara rasuah yang dimaksudkan?
“Jelas pertuduhan sebegitu sengaja diada-adakan dan dibuat sebegitu rupa untuk mengheret nama saya dalam perkara yang tidak langsung membabitkan saya,” katanya.
Ahli Parlimen Larut itu berkata adalah “pelik” apabila pegawai SPRM hanya merekodkan kenyataannya pada lewat petang semalam selepas pertuduhan dikemukakan terhadap Sim.
Hamzah adalah pemimpin PN terbaru yang terlibat dalam skandal rasuah.
Sebelum ini pengerusi gabungan itu Muhyiddin Yassin didakwa atas beberapa pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad turut didakwa menerima rasuah berhubung Jana Wibawa. – 11 Mei, 2023.
Komen