Pemimpin PAS gesa Putrajaya batalkan konsert Coldplay


Ravin Palanisamy

Vokalis utama Coldplay, Chris Martin didakwa pernah mengangkat bendera LGBT pada satu konsert di Wembley, London. – Gambar fail EPA, 10 Mei, 2023.

KETIKA Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kedatangan kumpulan rock British, Coldplay bagi konsert mereka yang dijadualkan pada November tahun ini, seorang pemimpin PAS meminta Putrajaya untuk membatalkan acara itu.

Dalam catatan Facebook, bekas ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan berkata konsert itu tidak membawa apa-apa kebaikan kepada bangsa, agama dan negara.

“Adakah Putrajaya mahu menggalakkan hedonisme dan budaya songsang di negara ini (dengan membenarkan Coldplay membuat persembahan di sini)?

“Saya nasihatkan (kerajaan) batalkan konsert itu,” kata ahli jawatankuasa kerja PAS pusat itu.

Nasarudin memuat naik siaran itu di laman Facebook rasminya, dilampirkan dengan tangkap layar skrin vokalis utama Coldplay, Chris Martin, mengangkat bendera lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada konsert di Wembley, London.

Beliau juga menambah satu lagi foto, yang menunjukkan ciapan Anwar, mengalu-alukan kedatangan kumpulan muzik itu ke Malaysia.

Anwar juga menyiarkan video dalam Facebooknya sebagai reaksi kepada pengumuman Coldplay, mengalu-alukan kumpulan itu ke Malaysia dan berkata, “Jumpa anda pada bulan November!”

Coldplay akan mengadakan satu siri pertunjukan di Asia pada bulan November sebagai sebahagian daripada jelajah dunia “Music of the Spheres” mereka yang memecahkan rekod.

Persembahan pertama kumpulan itu di Malaysia akan diadakan pada 22 November di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kumpulan lima ahli yang diketuai oleh vokalis dan pemain piano Martin menerima banyak gelaran termasuk Artis Jelajah Kegemaran pada Anugerah Muzik Amerika 2022 dan Jelajah Tahun Ini di Anugerah iHeartRadio 2023. – 10 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen