Ambiga terima anugerah berprestij di Sepanyol


Ambiga Sreenevasan dianugerahkan Pingat Kehormat Ruth Bader Ginsburg Persatuan Juris Sedunia 2023 di Sepanyol, semalam. – Gambar Twitter, 10 Mei, 2023.

PEGUAM dan juga aktivis Ambiga Sreenevasan dianugerahkan Pingat Kehormat Ruth Bader Ginsburg Persatuan Juris Sedunia 2023 atas usahanya dalam menyokong pilihan raya bebas, hak wanita dan manusia.

Bekas presiden Badan Peguam Malaysia itu menerima anugerah daripada Raja Felipe VI dari Sepanyol di Madrid semalam.

Ambiga adalah antara lima wanita yang menerima anugerah atas kerja mereka dalam memperjuangkan kedaulatan undang-undang, kesaksamaan dan memberi inspirasi kepada wanita lain.

Empat yang lain ialah wanita pertama yang menjadi ketua hakim agung United Kingdom Brenda Hale, bekas ketua Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Fiji Imrana Jalal, bekas hakim Mahkamah Agung Afghanistan Asifa Kakar dan Navi Pillay dari Afrika Selatan.

Mendiang Ruth Bader Ginsburg adalah wanita kedua yang menjadi hakim Mahkamah Agung AS.

Ginsburg terkenal dengan kerja litigasinya mengenai kesaksamaan jantina dan hak wanita, sehingga mendapat jolokan “The Notorious RBG”.

Beliau meninggal dunia pada September 2020 dalam usia 87 tahun.

Persatuan Jurist Dunia diasaskan pada 1963 dan mempromosikan kedaulatan undang-undang di seluruh dunia. Tahun ini merupakan kali kedua persatuan itu menganugerahkan Pingat Ruth Bader Ginsburg.

Sebelum ini, Ambiga menerima Anugerah Kedaulatan Undang-undang Komanwel ke-4 (2019) daripada Persatuan Peguam Komanwel, Anugerah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2018), Chevalier de Legion d’Honneur (Knight of the Legion of Honor) (2011) dan Anugerah Wanita Keberanian Antarabangsa Setiausaha Negara AS (2009).

The Malaysian Insight menghubungi Ambiga untuk mendapatkan komennya.

Dalam catatannya di Twitter semalam, Ambiga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas ucapan dan berkata bergeas pulang untuk menghadiri mesyuarat Badan Peguam Malaysia pada Rabu jam 2 petang. – 10 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen