Pihak cuba guling kerajaan boleh didakwa, kata peguam


Ravin Palanisamy

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata ada beberapa peruntukan di bawah Kanun Keseksaan yang boleh digunakan untuk menghukum pihak yang mengganggu gugat kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei 2023.

MANA-mana individu yang cuba menggulingkan kerajaan boleh didakwa kerana memudaratkan demokrasi berparlimen, kata seorang peguam terkemuka.

Peguam veteran dan pakar perlembagaan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata ada beberapa peruntukan di bawah Kanun Keseksaan yang boleh digunakan untuk menghukum pihak yang mengganggu gugat kerajaan.

“Jika cukup bukti seseorang yang tidak mempunyai majoriti tetapi menyebar maklumat atau cuba mengancam kerajaan, maka dia boleh dianggap mencuba atau menggugat demokrasi berparlimen,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim minggu lepas memberi amaran kepada pembangkang kerana cuba untuk menumbangkan kerajaan perpaduan pimpinannya.

“Jangan sabotaj, kalau kita dah beri ruang dan cuba mengganggu gugat, kita akan bertindak sewajarnya tanpa bertolak ansur,” katanya ketika menghadiri rumah terbuka di Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang pada Sabtu lepas.

Mengulas lanjut, Haniff berkata mereka yang mengancam kerajaan boleh didakwa di bawah Seksyen 124B, 124C, 124E, 124K dan 124L Kanun Keseksaan.

Di bawah Kanun Keseksaan:

– Seksyen 124B (melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen) memperuntukkan: “Barang siapa, dengan apa-apa cara, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun”.

– Sekyen 124C (berniat untuk menjalankan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen) memperuntukkan: “Barang siapa yang cuba melakukan suatu aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen atau melakukan apa-apa perbuatan sebagai persediaan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 15 tahun”. 

– Seksyen 124E (memiliki dokumen dan penerbitan yang memudaratkan demokrasi berparlimen): “Mana-mana orang yang, tanpa alasan yang sah, ada dalam milikannya apa-apa dokumen atau penerbitan memudaratkan demokrasi berparlimen atau apa-apa cabutan daripadanya, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun”.

– Seksyen 124K (sabotaj) : “Barang siapa, dengan apa cara sekalipun, secara langsung atau tidak langsung, melakukan sabotaj hendaklah dihukum penjara seumur hidup.

– Seksyen 124L (cubaan untuk melakukan sabotaj): “Barang siapa yang cuba untuk melakukan sabotaj atau melakukan apa-apa perbuatan sebagai persediaan sabotaj hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 15 tahun”.  

“Mungkin ini yang Anwar maksudkan.

“Bagaimanapun perlu cukup bukti sebelum pendawaan boleh dibuat. Pihak berkuasa mesti menyiasat bagi membuktikan tiada sokongan majoriti… bahawa ia adalah satu pembohongan, cubaan untuk melakukan sabotaj mengikut Seksyen 124L dan cubaan untuk mencetus rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat terhadap majoriti kerajaan perpaduan,” jelas Haniff.

Beliau juga berkata mengikut Seksyen 124, individu juga boleh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Kesemua kesalahan di atas adalah kesalahan yang disenaraikan di bawah Sosma. Aktanya masih ada,” katanya merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkenaan keputusan kerajaan untuk tidak memansuhkan Sosma.

“Bermakna seseorang boleh ditahan dan di letakkan di penjara sementara menunggu perbicaraan selesai.” 

Haniff berkata isu berkenaan usaha untuk menjatuhkan kerajaan mengganggu pentadbiran.

Selain mencetus keresahan dalam masyarakat sama ada kerajaan perpaduan akan bertahan sehingga habis penggal, ia juga akan menghakis keyakinan pelabur. – 10 Mei 2023. 

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen