Produk mi segera diarah tarik balik selamat untuk dimakan, kata KKM 


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Radzi Abu Hassan berkata ‘Ah Lai White Curry Noodles’ dari Malaysia dan ‘Indomie: Perisa Ayam Spesial’ selamat dimakan selepas menjalani analisis makmal.– Gambar Facebook, 9 Mei, 2023.

DUA produk mi segera yang dikatakan mengandungi karsinogen, yang sebelum ini diarah ditarik balik secara sukarela oleh syarikat, selamat untuk dimakan, kata Kementerian Kesihatan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Radzi Abu Hassan berkata ‘Ah Lai White Curry Noodles’ dari Malaysia dan ‘Indomie: Perisa Ayam Spesial’ selamat dimakan selepas menjalani analisis makmal.

“Analisis mendapati produk tersebut mematuhi perundangan yang ditetapkan dan selamat untuk dimakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengarahkan dua produk mi segera itu ditarik balik daripada pasaran berikutan dakwaan mengandungi etilena oksida iaitu  sebatian kimia dikaitkan dengan penyakit limfoma dan leukemia oleh Jabatan Kesihatan Taipei.

Dalam perkembangan sama, Dr Radzi berkata, Kementerian telah melaksanakan enam peringkat pemeriksaan bagi produk makanan import.

Menurutnya, produk makanan yang masuk ke negara ini akan ditahan dan dianalisis terlebih dahulu di bawah prosedur Tahan, Ujian dan Pelepasan (TUL).

“Hanya produk makanan yang mematuhi piawaian dibenarkan untuk pasaran Malaysia.

“Bagi tempoh 2022 hingga April 2023, sebanyak 317 persampelan bagi tujuan TUL telah dijalankan dan daripada jumlah itu, 37 (11.67%) adalah persampelan TUL pada pelbagai jenama produk mi segera bagi parameter etilena oksida,” katanya.

Bagi produk yang didapati tidak mematuhi syarat, Dr Radzi berkata Kementerian akan bekerjasama dengan syarikat terbabit bagi memastikan semua produk itu ditarik balik daripada pasaran.

Jelasnya lagi, Kementerian Kesihatan mahu memastikan produk di pasaran tempatan melalui prosedur yang ditetapkan dan selamat untuk dimakan. – 9 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen