PERDANA Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen berlepas ke Labuan Bajo, Indonesia pada Selasa untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-42, yang berlangsung pada 10 dan 11 Mei.
Kehadirannya adalah atas jemputan Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi selaku pengerusi bergilir Asean bagi 2023, kata Sry Thamarong, seorang menteri yang berkhidmat dengan perdana menteri Kemboja.
Bertemakan “Asean Matters: Epicentrum of Growth,” para pemimpin Asean akan membincangkan cara untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi blok itu dalam era pandemik pasca Covid-19, lapor Xinhua.
“Para pemimpin akan membincangkan cara untuk mengekalkan momentum pembangunan komuniti Asean,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh sebelum berlepas.
“Mereka juga dijangka membincangkan cara untuk mempercepat pembangunan Wawasan Pasca komuniti Asean 2025 untuk menjadikan Asean sebuah komuniti berorientasikan masa depan untuk rantau yang aman, stabil, selamat, makmur dan berdaya tahan,” katanya.
Menurut Thamarong, Perdana Menteri Timor-Leste Taur Matan Ruak dijangka menghadiri sidang kemuncak itu sebagai pemerhati buat kali pertama selepas Asean pada dasarnya bersetuju untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota Asean ke-11, pada November tahun lalu.
Ditubuhkan pada tahun 1967, Asean dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – Bernama, 9 Mei, 2023.
Komen