PAKATAN Harapan (PH) akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sekiranya berjaya menakluk Putrajaya, kata Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad.
Sebelum Auku dikuatkuasakan pada 1971, pelajar universiti dibenarkan mempunyai kesatuan pelajar yang bebas dilengkapi dengan kewangan sendiri yang membolehkan mereka menganjurkan demonstarsi di dalam dan luar kampus malah menjemput ahli politik kerajaan mahupun pembangkang untuk berucap.
Pengkritik Auku mengatakan akta itu menyekat kebebasan politik dan autonomi akademik pelajar dan pensyarah universiti.
Hari ini, Dr Mahathir memberi jaminan kepada pelajar yang akta itu akan dimansuhkan sekiranya PH berjaya menjadi kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.
“Auku akan dimansuhkan. Selepas ia dimansuhkan, kita hendak ibu bapa mengambil berat kehadiran mereka (pelajar). Kita dapati ramai yang terpesong dengan aktiviti yang lain termasuk aktiviti politik sehingga mereka tidak dapat menumpu kepada pelajaran,” kata bekas perdana menteri itu dalam siaran langsung di Facebook hari ini.
Beliau juga menegaskan kembali janji PH untuk menyediakan pendidikan percuma untuk pengajian tinggi terutama untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.
PH juga akan memberikan tumpuan untuk menambah baik sektor pendidikan bagi individu kelainan upaya supaya lebih ramai mereka boleh menjadi tokoh dihormati seperti Allahyarham Prof Ismail Salleh, kata Dr Mahathir.
Pada 2016, bekas menteri pendidikan memberitahu pelajar dalam sebuah forum awam yang Auku diperlukan bagi memastikan pelajar tidak mengabaikan pengajian.
Dalam penghakiman bersejarah pada 2011, Mahkamah Rayuan memutuskan membataskan penglibatan pelajar universiti dalam politik melanggar perlembagaan.
Penghakiman itu dikeluarkan apabila empat orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang didakwa melanggar Auku dengan menjadi pemerhati dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada 2010 memfailkan semakan kehakiman.
Pada 2012, kerajaan meminda Auku bagi membenarkan pelajar terlibat dalam aktiviti politik luar kampus, walaupun kegiatan politik dalam kampus masih tidak dibenarkan. – 21 Mac, 2018.
Komen