Kumpulan bantah cadangan letak SPRM di bawah EAIC


Ravin Palanisamy

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said awal bulan ini mengumumkan cadangan untuk meletakkan SPRM di bawah EAIC. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2023.

CSO Platform for Reform membantah terhadap cadangan Putrajaya untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Merujuk kepada pengumuman yang dibuat oleh Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said, gabungan itu berkata langkah itu bercanggah dengan semangat reformasi institusi dan berdasarkan pengamatan mereka, tidak ada sebarang manfaat untuk menempatkan SPRM di bawah EAIC.

“Tindakan ini bertentangan dengan kebebasan dan ketelusan SPRM, yang diperlukan untuk menjalankan tugasnya dengan baik.

“Kami berasa sangat bimbang kerana skop kuasa EAIC adalah tidak jelas sejak penubuhannya,” kata jawatankuasa pemandu gabungan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ia juga menambah kebebasan EAIC menjadi subjek perdebatan kerana pelantikan Ketua Pesuruhjayanya dibuat oleh Perdana Menteri.

“Oleh yang demikian, ini menimbulkan persoalan sama ada EAIC bebas daripada sebarang pengaruh politik,” katanya.

Awal bulan ini, Azalina berkata cadangan untuk meletakkan SPRM di bawah bidang kuasa EAIC dibuat semasa mesyuarat pertama jawatankuasa pro-tem.

Jawatankuasa itu bermesyuarat untuk membincangkan cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membentuk badan baharu bagi menyelia dan menyiasat semua aduan terhadap badan penguatkuasa undang-undang.

Gabungan itu berkata, memandangkan SPRM adalah badan tertinggi dalam menyelia aktiviti rasuah di negara ini, adalah perlu untuk memastikan ia dapat melaksanakan tugasnya tanpa sebarang campur tangan politik.

“Apatah lagi apabila kita melihat kepada kuasa yang dimiliki oleh SPRM.

“SPRM merupakan agensi yang mempunyai kuasa pendakwaan dan kuasa sebesar ini tidak diperolehi oleh
mana-mana agensi lain di bawah bidang kuasa EAIC.

“Oleh itu, kami tidak percaya menempatkan SPRM di bawah tanggungjawab EAIC akan meningkatkan kemandirian atau kuasa badan itu,” kata CSO Platform for Reform.

Gabungan itu berkata Azalina sebaliknya harus mempertimbangkan untuk meletakkan SPRM di bawah bidang kuasa Parlimen Malaysia bagi tujuan akauntabiliti dan ketelusan, dengan mendakwa ia selaras dengan pendirian Anwar dalam memastikan ketelusan dan kebebasan agensi antirasuah itu.

Gabungan itu menyeru kerajaan perpaduan untuk menegakkan prinsip pembaharuannya dengan melupakan cadangan meletakkan SPRM di bawah EAIC.

CSO Platform for Reform adalah gabungan 60 CSO, yang berpangkalan di Malaysia, memfokuskan kepada pembaharuan institusi. – 9 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen