Jepun turunkan status ancaman Covid-19 kepada selsema biasa


Jepun secara rasmi memutuskan pada 27 April untuk menurunkan status undang-undang Covid-19 kerana program vaksinasi antara faktor lain menjadikan penyakit itu kurang membawa maut. – Gambar AFP, 9 Mei 2023.

JEPUN semalam menurunkan status ancaman Covid-19 kepada kategori yang sama dengan influenza bermusim dan melonggarkan langkah kesihatan berkaitan.

Langkah itu menandakan peralihan besar dalam pendekatan kerajaan menentang pandemik selepas tiga tahun.

Pengelasan semula Covid-19 kepada Kelas Lima bermakna keputusan mengenai langkah pencegahan anti-Covid-19 kini terpulang kepada individu dan ahli perniagaan, lapor agensi berita Kyodo.

Bagaimanapun pakar menyeru kerajaan untuk memastikan institusi perubatan dapat bertindak balas dengan tepat terhadap potensi peningkatan jumlah jangkitan pada masa depan.

Kerajaan menghapuskan sebahagian besar garis panduannya termasuk tempoh kuarantin selama tujuh hari untuk mereka yang diuji positif dan lima hari bagi kontak rapat.

Penduduk Jepun juga akan dikenakan bayaran untuk rawatan pesakit luar dan kemasukan ke hospital berkaitan Covid-19, walaupun subsidi tersedia untuk rawatan lebih mahal.

Pada 2020 Covid-19 dikategorikan sebagai ancaman kesihatan awam khas bersamaan atau lebih ketat daripada Kelas dua, yang meliputi penyakit berjangkit seperti batuk kering dan sindrom pernafasan akut teruk atau SARS.

Kerajaan secara rasmi memutuskan pada 27 April untuk menurunkan status undang-undang Covid-19 kerana program vaksinasi antara faktor lain menjadikan penyakit itu kurang membawa maut. – Bernama, 9 Mei 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen