Lynas dibenarkan beroperasi sehingga 31 Disember ini, kata menteri


Ravin Palanisamy

Kerajaan memberikan Lynas tempoh lanjutan enam bulan untuk memenuhi syarat pelesenan beroperasi di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2023.

PUTRAJAYA bersetuju melanjutkan lesen pengeluar nadir bumi Lynas Malaysia sehingga akhir tahun, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang hari ini.

Katanya, lanjutan itu akan membolehkan loji pemecahan dan peresapan (C&L) Lynas di Gebeng, Kuantan, meneruskan operasi sehingga 31 Disember tahun ini.

“Berkuat kuasa 1 Januari 2024, Lynas perlu memastikan loji C&L di luar negara mula beroperasi dan tidak lagi dibenarkan mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia,” kata Chang dalam satu kenyataan hari ini.

Chang, yang merupakan ahli Parlimen Tanjong Malim, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan ekonomi, perlindungan alam sekitar dan kesihatan awam.

“Kerajaan Malaysia Madani memahami kepentingan industri nadir bumi dan komited untuk memastikan sebarang urusan perniagaan yang dijalankan berkaitan industri ini tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan penduduk setempat.

“Oleh itu, keputusan ini diambil selepas penilaian teliti, berdasarkan prinsip kemampanan, pembangunan dan keselamatan,” kata Chang.

Berdasarkan Seksyen 32(5), Akta Perlesenan Tenaga Atom, keputusan yang dibuat oleh menteri adalah muktamad, tambahnya.

Malam tadi, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan Lynas diberikan pelanjutan di bawah syarat-syarat yang mesti dipatuhi dengan ketat.

Terdahulu, kementerian mengadakan tribunal tertutup pada 28 April untuk membincangkan rayuan Lynas bagi menggugurkan empat syarat diperkenalkan pada Mac 2020 yang melarang import dan pemprosesan unsur nadir bumi.

Ia termasuk aktiviti C&L, penjanaan residu ‘water leach purification’ (WLP) dan pengimportan pekatan lantanid dari Australia.

Permohonan menggugurkan empat syarat itu ditolak oleh lembaga pelesenan, menyebabkan rayuan pada 28 April, yang dilihat sebagai percubaan terakhir bagi memastikan syarikat itu dapat meneruskan operasinya di Gebeng.

Kilang di Malaysia menyumbang separuh daripada bekalan nadir bumi dunia di luar China.

Syarikat itu berkata ia akan menutup sementara kilangnya pada pertengahan Julai jika syarat pelesenan kekal tidak berubah.

Nadir bumi digunakan untuk membuat peralatan elektronik, bateri, magnet super dan peralatan canggih lain. – 8 Mei 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen