Sengketa Anwar-Mahathir belum bernoktah


Mohd Azizi Jaeh

Pertarungan panjang dua gergasi politik Anwar Ibrahim-Dr Mahathir Mohamad tampaknya sukar ditamatkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2023.

BAGI yang mengikuti sejarah politik Malaysia pertarungan panjang dua gergasi politik Anwar Ibrahim-Dr Mahathir Mohamad tidak kenal erti noktah. Persengketaan ini tampaknya sukar ditamatkan.

Sebelum PRU15 Anwar menyatakan Mahathir sudah tidak lagi relevan. Kekalahan Mahathir dan partinya dalam PRU15 membibitkan petanda dan pembayang yang Mahathir mungkin mengakhiri permusuhan dengan seterunya itu.  

Lantas ini mencetuskan imaginasi di kalangan generasi baru Malaysia yang politik era Mahathir telah pun berlalu dan politik pasca-Mahathir harus dibiarkan mengambil tempat.

Dalam erti kata lain ia mencetus keinginan untuk keluar dari bayangan Anwar-Mahathir dan seterusnya membuka ruang buat pemimpin baharu menonjol.

Sebahagian besar catatan sejarah terakam oleh tindak tanduk dua pelaku utama ini. Mereka pernah membentuk keserasian dan gandingan ketika memimpin parti terbesar orang Melayu Umno.

Kemuncak dari keberantakan hubungan tersebut meletusnya peperangan besar antara puak-puak mereka. Gerakan Reformasi telah menajamkan lagi ketegangan kedua tokoh ini.

Selepas hampir dua dekad bersengketa mereka memulihkan hubungan (menormalisasikan) seketika, dan dalam tempoh singkat mereka kembali terjun semula ke medan tempur untuk mendaki menara kuasa (merebut jawatan perdana menteri selepas Langkah Sheraton).

Episod demi episod ditayangkan. Meskipun Anwar telah diangkat selaku perdana menteri, Mahathir yang tewas dan cedera dalam pilihan raya umum masih tidak serik-serik mahu menonjolkan pengaruh dan masih menganggap dirinya signifikan dalam politik Malaysia.

Barangkali tiada istilah “game over” dalam kamus perjuangan Mahathir.  

Kini Mahathir dan lingkaran pengaruhnya mengatur strategi dan cuba menggemblengkan tenaga serta sokongan orang Melayu dengan mempromosikan Proklamasi Melayu.

Perlu diingat, Mahathir merupakan grand strategist yang boleh memanfaatkan setiap krisis yang berlaku sebagai peluang terbaik untuknya meraih keuntungan politik. Jika diberikan kuasa, tiada belas kasihan terhadap musuh politiknya.

Banyak pendapat menyatakan Mahathir menerapkan politik ala Machiavellian. Menariknya, Mahathir mendakwa tidak pernah membaca buku Machiavelli iaitu The Prince dan tentang cara menjadi ahli politik yang berjaya.

Menyedari kerajaan yang dipimpin perdana menteri kesepuluh kurang mendapat sokongan orang Melayu, Anwar bingkas bertindak balas.

Beliau mendakwa Mahathir menggunakan sentimen kaum untuk memungut sokongan Melayu apabila hilang kuasa di samping membolot kekayaan peribadi ketika berkuasa.

Tindakan saman telah dikenakan Mahathir terhadap Anwar berjumlah RM150 juta menaikkan suhu konflik antara mereka ketika ini. 

Persoalannya, apakah tindakan dan strategi Anwar untuk menangani tuntutan saman ini?

Lawan di mahkamah dan kemukakan bukti penyelewengan Mahathir?

Namun setakat ini, tiada siapa yang boleh dikira sebagai pemenang mutlak dalam pertarungan ini. Kedua-duanya terus ghairab mengatur pelbagai bunga dan langkah silat.

Ramai yang meramalkan Mahathir akan berundur sepenuhnya dari pentas politik sejurus kekalahan mengaibkan dalam PRU15.

Secara tidak langsung akan menampilkan tokoh baru untuk menyaingi kepimpinan Anwar dalam kekosongan yang ditinggalkan Mahathir. 

Ternyata imaginasi yang pernah dihasratkan generasi baru itu masih kabur.

Judul sajak yang Perjuangan Belum Selesai dikarang Mahathir pada 1996 mungkin menjadi sandaran untuknya terus mengabdikan diri dengan perjuangan. 

Politik adalah nyawa dan kehidupannya meskipun usia hampir mencecah satu abad.

Bagi Anwar pula, PRU15 adalah pertaruhan terakhir untuknya menaiki menara kekuasaan sebagai perdana menteri. Mengikut pandangan popular, selagi ada Mahathir, selagi itulah impian Anwar mampu disekat.

Tanpa disangka, Anwar yang terlalu sukar mendakap jawatan tersebut akhirnya berjaya, manakala Mahathir yang merupakan pesaing yang boleh menghalang rencana Anwar tiba-tiba tewas mengejut.

Sejak sekian lama Mahathir berada di kedudukan existing power (kuasa sedia ada), manakala Anwar sering dikelaskan sebagai imagine power (kuasa yang dibayangkan).

Kenaikan Anwar sebagai PMX pada 24 November 2022 telah mengubah dan merombak pengkelasan tersebut.

Keduanya telah mencapai puncak kuasa sebagai perdana menteri. Namun, Mahathir tetap berkelebihan dari sudut pencapaian dan mendahului carta kerana berjaya menjawat sebanyak dua kali jawatan tersebut. 

Bahkan, Malaysia dibina dan dibentuk lebih dua dekad oleh pentadbiran Mahathir.

Kini peluang Anwar pula membuktikan yang beliau boleh menjadi pentadbir yang terbaik. Mungkin lebih baik daripada Mahathir?

Kenapa sengketa mereka masih tidak berakhir? Pemimpin atau aktor yang berpengaruh serta mencapai tahap sebagai negarawan akan sentiasa mencari musuh yang setara, sejati dan setanding demi kelangsungan politiknya.

Ia juga sebagai pengukur kekuatan sesebuah aktor yang meliputi pemimpin atau negara – meminjam pendekatan ilmu hubungan antarabangsa. 

Contoh klasik yang mudah diambil ialah Amerika Syarikat, akan terdapat musuh yang setara dan setanding seperti Soviet Union dan China untuk menyaingi.

Namun, untuk memadankan konteks sengketa Anwar-Mahathir dengan konteks sengketa AS-Soviet merupakan andaian penulis dalam memahamkan secara mudah kepada khalayak pembaca.

Selain itu, sesuatu yang menarik pernah diperkatakan bekas menteri besar Kedah, Sanusi Junid mengenai pertembungan Anwar-Mahathir.

Sanusi menjelaskan, ia bukan mengenai ideologi. Ia tiada kaitan dengan perbezaan mengenai ekonomi atau bagaimana negara harus dikendalikan, tetapi hanya pertembungan antara dua manusia. Melayu memang suka drama macam ini, katanya.

Watak antagonis dan protagonis dilabelkan oleh pengikut masing-masing terhadap kedua-dua mereka. Baik Anwar atau Mahathir persengketaan mereka ini telah mengheret pelbagai lapisan rakyat.

Sebetulnya sulit untuk menyingkap pendekatan realpolitik kedua aktor ini. Yang pasti, mereka sering melakukan kejutan, mengundang pelbagai kontroversi serta tidak takut berkonfrontasi. – 8 Mei, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen