23,000 lari lepas keganasan etnik tercetus di timur laut India


Pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata dalam usaha meredakan keadaan. – Gambar AFP, 7 Mei, 2023.

KIRA-kira 23,000 orang melarikan diri selepas keganasan etnik tercetus di timur laut India, Manipur yang bersempadan dengan Myanmar di mana sekurang-kurangnya 54 orang dilaporkan terbunuh, kata tentera pada Ahad.

Pergolakan di Manipur tercetus selepas himpunan tunjuk perasaan minggu lalu oleh kumpulan puak yang mencetuskan pertempuran dimana kenderaan dan rumah dibakar manakala pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata.

Tentera mengerah beribu-ribu anggotanya ke sempadan Myanmar, mengeluarkan arahan ‘tembak jika kelihatan’ dalam ‘kes ekstrem’, mengenakan perintah berkurung serta memotong Internet.

Tentera berkata, tiada kebakaran besar dilaporkan semalaman pada Ahad dan perintah berkurung ditarik balik antara jam 7 pagi hingga jam 10 pagi di daerah Churachandpur, salah satu kawasan ‘panas’.

“Dalam tempoh 24 jam lalu tentera tingkatkan pengawasan melalui pengawasan udara, pergerakan UAV dan penempatan semula helikopter tentera dalam Lembah Imphal,” katanya merujuk kepada kenderaan udara tanpa pemandu atau dron.

“Seramai 23,000 orang awam diselamatkan setakat kini dan sudah dipindahkan ke pangkalan operasi/Garison tentera,” kata kenyataan itu.

Pihak berkuasa belum mendedahkan angka kematian rasmi namun menurut bilik mayat hospital di ibu negara Imphal serta Churachandpur seramai 54 kematian dilaporkan, menurut media tempatan.

Ketegangan memuncak selepas mahkamah tinggi mengarahkan kerajaan mempertimbangkan agar komuniti Meitei diberi status ‘Scheduled Tribe’ yang ditentang hebat oleh etnik lain kerana khuatir menjejaskan hak mereka. – AFP, 7 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen