Pemilik bengkel beri keterangan kehilangan aktivis


Noel Achariam

Siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai kehilangan aktivis Amri Che Mat dikendalikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2018.

PEGAWAI penyiasat yang ditugaskan dengan kes kehilangan aktivis Amri Che Mat, akan memberi keterangan kepada siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.

Inspektor Khor Yi Shuen dari ibu pejabat polis daerah Kangar di Perlis dijangka memberi keterangan mengenai penemuan awalnya dalam kes itu.

Amri, yang juga pengasas kumpulan masyarakat sivil, Perlis Hope, hilang pada November 2016. Isterinya, Norhayati Ariffin, membuat laporan polis pada Disember 2016.

Sebulan kemudian apabila Norhayati memeriksa status penyiasatan dengan Khor, beliau diberitahu kes itu diserahkan kepada polis persekutuan di Bukit Aman.

Dalam keterangannya sebelum ini, Norhayati berkata, beliau ke Bukit Aman pada April tahun lepas tetapi itu gagal mendapatkan sebarang maklumat apabila diberitahu oleh pegawai di sana mereka tidak menerima sebarang laporan tentang kehilangan Amri.

Saksi lain yang dijangka memberi keterangan ialah pemilik bengkel kereta JST Auto Vee Yak yang memberitahu polis melihat beberapa kenderaan diletakkan berhampiran rumah Amri beberapa hari sebelum kehilangannya.

Semalam, pengusaha restoran Syed Amri Syed Abdul Jalil yang mendakwa menyaksikan penculikan Amri, memberitahu panel siasatan polis hanya mencatatkan kenyataannya pada Januari tahun – lebih setahun selepas kehilangan Amri dilaporkan.

Syed Amri mendakwa melihat Toyota Fortuner Amri dihentikan oleh tiga kenderaan pacuan empat roda dan dua kereta sedan.

Amri, 43, diculik kira-kira 550 meter dari rumahnya di Padang Behor, Kangar di Perlis pada penghujung 2016.

Polis kemudian menemui keretanya di Bukit Chabang. Beliau mempunyai empat anak perempuan, berumur antara 10 hingga 19 tahun.

Siasatan itu dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Mah, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Panel itu bertujuan menentukan sama ada penculikan Pastor Raymond Koh dan Amri, serta kehilangan dua orang lain – Joshua dan Ruth Hilmy – pada 2016 sama ada kes ia kehilangan paksa dilakukan pihak berkuasa negara ini.

The Malaysian Insight membawa anda maklumat terkini mengenai prosiding hari ini.

12.25pm: Peguam Jay kemudian bertanya Vee jika beliau tahu sama ada ia sesuatu yang biasa bagi pihak polis meminta orang ramai menandatangani kertas kosong.

Pesuruhjaya Mah kemudian membantah dan meminta soalan itu ditujukan kepada pihak polis.

Mah bertanya Vee apa yang dicatatkan oleh polis dan sama ada kenyataan yang ditulis itu benar.

Vee berkata ia benar.

Siasatan selesai dan akan disambung semula pada 2 April.

12.15pm: Pesuruhjaya Mah kemudian meminta penjelasan mengenai garis masa laporan itu dibuat.

Vee memberitahu pada 16 Oktober 2017 beliau menandatangani “kertas kosong”.

“Pada 4 November 2017 saya pergi dengan peguam saya, K.Muthiah ke IPD Kangar.

“Kemudian Inspektor Khor menunjukkan kepada saya satu kenyataan yang ditandatangani.

“Saya membawa seorang peguam kerana bahasa Malaysia saya tidak begitu baik dan memerlukan seseorang untuk menjelaskan kenyataan itu kepada saya.”

11.55am: Pemerhati polis Ketua Polis Sentul R. Munusamy kemudian menyoal Vee beberapa soalan mengenai isu kertas kosong yang ditandatanganinya.

Munusamy berkata apa yang ditandatanganinya adalah laporan yang disediakan dan bukannya kertas kosong.

Beliau kemudian menunjukkan laporan yang lengkap dengan kenyataan Vee dan tandatangannya.

Munusamy kemudian bertanya apakah itu tandatangannya pada laporan itu dan Vee mengakuinya.

Vee berkata beliau tidak bersetuju dengan Munusamy dan menegaskan beliau menandatangani kertas kosong.

11.35am: Vee menafikan lelaki yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis menunjukkan sebarang pengenalan diri ketika disoal Pesuruhjaya Mah.

Beliau juga memberitahu panel orang itu berbangsa Melayu.

Mah kemudian bertanya sama ada Vee bertanya polis itu dari mana.

Vee berkata polis itu memberitahu dari Kangar.

11.20am: Vee kemudian memberitahu sebulan selepas kejadian seorang pegawai polis berpakaian biasa datang ke bengkelnya.

Beliau memperkenalkan diri sebagai polis dan kemudian mencatatkan kenyataannya melalui telefon.

Vee berkata polis berkenaan juga tidak mengambil sebarang kenyataan bertulis.

Peguam Jay bertanya sama ada pegawai polis itu mengatakan namanya dan dijawab “tidak”.

10.55am: Bagi menentukan jarak kenderaan dan bengkel, peguam keluarga Amri, Jay Moi memainkan video pendek kawasan itu.

Vee kemudiannya diminta menunjuk lokasi kenderaan itu berada.

Beliau berkata Vios dan Civic diletakkan di seberang jalan dari bengkelnya dan Hilux diletakkan di depan bengkel itu.

Peguam Jay kemudian bertanya apakah beliau benar-benar tidak dapat melihat sesiapa di dalam kenderaan berkenaan.

Vee berkata ketiga-tiga kenderaan itu gelap dan hanya dapat melihat bayang sahaja.

Beliau juga berkata hanya Hilux yang diparkir lewat petang hingga tengah malam.

10.45am: Vee kemudian memberitahu panel yang beliau mencatat nombor plat kereta Vios berwarna emas itu.

Katanya, plat kereta itu adalah PFC 1623.

Pesuruhjaya Mah bertanya mengapa Vee mencatat nombor plat itu.

Vee berkata beliau tak pernah melihat kereta itu sebelum ini dan mencatat nombor plat itu kerana merasa ragu-ragu.

“Kereta itu diparkir selama tiga hari (sebelum Amri hilang).

Mah kemudian bertanya jika Vee mendekati kereta itu atau bercakap dengan sesiapa dalam kereta itu.

Vee menjawab tidak.

Mah kemudian bertanya sama ada laporan polis dibuat, Vee sekali lagi menjawab tidak ada.

10.25am: Pesuruhjaya Mah kemudian bertanya sekiranya beliau ada membuat sebarang laporan polis dan berapa kali beliau ke IPD Kangar.

Vee berkata beliau ke IPD Kangar sebanyak dua kali.

“Kali pertama saya pergi ke balai pada November 2017.

“Saya diminta menandatangani kertas kosong. Sebulan kemudian, saya diminta datang semula dan kenyataan sudah tersedia.”

10.00am: Vee memberitahu panel yang beberapa hari sebelum Amri hilang ada tiga kenderaan diletakkan di depan bengkelnya dari pagi hingga lewat petang.

Beliau berkata kereta itu bercermin gelap dan enjinnya dihidupkan.

Vee berkata terdapat Toyota Hilux hitam, Toyoya Vios berwarna emas dan Honda Civic putih.

Beliau juga berkata tidak dapat melihat individu di dalam kereta.

9.55am: Inspektor Khor tidak akan memberi keterangan hari ini kerana beliau sedang mengikuti kursus.

Menurut pemerhati polis beliau dijangka menghadiri siasatan awam pada 2 April.

Justeru, sesi diteruskan dengan memanggil pemilik bengkel kereta JST Auto Vee Yak untuk memberi keterangan.

Pegawai Suhakam menyoal Vee bagaimana beliau mengetahui mengenai kehilangan Amri dan sama ada mengenali aktivis itu.

Vee berkata beliau mengetahui mengenai kehilangan Amri daripada Anuar.

“Amri adalah pelanggan saya dan sering datang ke bengkel saya.” – 21 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen