Sekutu Jho Low bekas pegawai 1MDB ditahan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Individu tersebut berjaya diberkas agensi antirasuah di pintu masuk negara semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2023.

INDIVIDU yang berjaya diberkas agensi antirasuah semalam difahamkan seorang bekas pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Kee Kok Thiam.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Kee merupakan individu tersebut dipercayai sekutu kepada ahli perniagaan Jho Low yang kini masih bebas.

Kee berjaya ditahan apabila cuba memasuki negara apabila pergerakannya dikesan polis antarabangsa Interpol sewaktu berlepas dari Macau, kata sumber.

“Dia dipercayai berlepas dari Macau dan ketika daftar masuk di lapangan terbang negara itu, sistem Interpol dapat mengesan pergerakannya sebelum maklumat itu disalurkan ke SPRM.

“Bertindak atas maklumat Interpol itu, SPRM menahan Kee di KLIA,” kata sumber.

Ia membawa kepada penahanan Kee, 51, ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) kira-kira jam 3.30 pagi.

Pegawai SPRM merakamkan keterangan lelaki berkenaan dan rumahnya digeledah pada hari yang sama, katanya.

Menurut sumber, Kee merupakan orang kanan Jho Low dan menggunakan identiti pengenalannya sendiri untuk pulang ke Malaysia.

Suspek tersebut menghilangkan diri sejak 2018.

Siasatan agensi antirasuah mendapati individu terbabit dipercayai menerima wang yang diseleweng dari 1MDB dan SRC melalui akaun sebuah syarikat, Wright Shaw Limited.

SPRM dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura sebelum ini dilaporkan berjaya menyita akaun Wright Shaw Limited melibatkan dana AS$5.2 juta.

Siasatan juga membuktikan suspek menerima wang yang diselewengkan daripada 1MDB menerusi Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan suspek, dan katanya usaha bagi mengesan beberapa lagi suspek dan aset lain di Singapura sedang dilakukan.

Agensi antirasuah itu setakat ini berjaya mendapatkan semula kira-kira 70% aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 bilion. – 6 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen