SPRM cekup individu didakwa sekutu Jho Low


Alfian Z.M. Tahir

SPRM menahan suspek dipercayai sekutu Jho Low, yang menghilangkan diri sejak 2018, di KLIA2 pada pukul 3.30 pagi kelmarin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membawa pulang seorang suspek yang didakwa terbabit dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Menurut sumber SPRM individu tersebut dipercayai sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, dan menerima wang yang diselewengkan dari 1MDB dan SRC.

Suspek yang menghilangkan diri sejak 2018 itu ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pada pukul 3.30 pagi kelmarin. Notis Perintah diserahkan kepadanya untuk beliau hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada jam 10 pagi kemudian.

Pegawai SPRM merakamkan keterangan lelaki berkenaan dan rumahnya digeledah pada hari yang sama, kata sumber.

Siasatan agensi antirasuah mendapati individu terbabit dipercayai menerima wang yang diseleweng dari 1MDB dan SRC melalui akaun sebuah syarikat, Wright Shaw Limited.

SPRM dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura sebelum ini dilaporkan berjaya menyita akaun Wright Shaw Limited melibatkan dana AS$5.2 juta.

Siasatan juga membuktikan suspek menerima wang yang diselewengkan daripada 1MDB menerusi Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan suspek, dan katanya usaha bagi mengesan beberapa lagi suspek dan aset lain di Singapura sedang dilakukan.

Agensi antirasuah itu setakat ini terlah berjaya mendapatkan semula kira-kira 70% aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 bilion. – 5 Mei 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen