KUMPULAN pemisah Sarawak yang menunggu di luar Mahkamah Tinggi Kuching pagi ini berang apabila dimaklumkan keputusan mahkamah terhadap permohonan kerajaan persekutuan dan Sarawak untuk membatalkan tuntutan mereka berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditangguhkan lagi.
Mereka antara 11 rakyat Sarawak yang memfailkan tuntutan memohon mahkamah mengisytiharkan MA63 terbatal, bagi membolehkan negeri itu terpisah daripada Persekutuan Malaysia.
Permohonan itu difailkan pada 15 Mac, 2022.
Mereka menamakan Putrajaya, kerajaan United Kingdom (UK) dan Sarawak sebagai defendan. Kerajaan UK tidak memberi respons terhadap tuntutan itu.
Hari ini adalah kali ketiga mahkamah menangguhkan keputusan permohonan kerajaan persekutuan dan negeri Sarawak itu.
Suara marah dan tidak berpuas hati kedengaran apabila kerani mahkamah memberitahu berkenaan penangguhan itu.
Penasihat undang-undang kerajaan negeri Sarawak, JC Fong turut hadir. Salah seorang pegawainya berkata mereka tidak tahu berkenaan penangguhan itu kerana tiada pihak memaklumkan.
“Tiada siapa boleh jelaskan sebab penangguhan itu,” kata salah seorang peguam dalam pasukan plaintif, Peli Aron kepada wartawan.
Aron yang juga timbalan presiden pro-kemerdekaan Parti Bumi Kenyalang (PBK) berkata mereka marah kerana ramai daripada plaintif terpaksa datang ke Kuching untuk kes itu.
“Mereka sangat kecewa. Ada yang datang dari Sibu dan Miri, malah terpaksa mengeluarkan belanja untuk ke sini,” katanya.
Beliau sendiri perlu memandu tiga jam dari Bandar Simanggang, kira-kira 200km dari Kuching, dan berkata penangguhan berkali-kali itu menyebabkan kos mereka bertambah. – 5 Mei, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen