Semak dan imbang jadi selak dan tumbang


KEBELAKANGAN ini terlalu banyak khabar angin dan desas-desus politik yang seakan mencadangkan akan berlakunya perubahan arus politik tanah air.

Serius atau tidaknya khabar ini sehingga DYMM Sultan Johor sendiri membuat hantaran Facebook dengan ingatan “sudah-sudahlah” akan agenda yang demikian hajatnya.

Kita sebenarnya belum pun melewati tempoh 200 hari selepas tarikh pilihan raya ke-15 yang lalu. Secara spesifik, hari ini baru 167 hari. Jika disusul tempoh terlantiknya seorang Perdana Menteri ke-10, lebih sedikit 150 hari.

Sejujurnya, ada rasa kecewa bila mana gegak gempita mahu menjadi “pembangkang berwibawa – main peranan semak dan imbang”; sudah lebih menjadi peranan “selak dan tumbang”. Selak kelemahan kerajaan; dan bekerja untuk menumbangkannya.

Saya ingin tegaskan, dalam segala racau dan rengek mahu menumbangkan kerajaan ini; yang sebenarnya “senak dan tempang” adalah rakyat dan ekonomi negara! Berapa lama lagi rakyat mahu disogok dengan “politik nombor” begini?

Wibawa ekonomi negara belum pulih sepenuhnya. Rasa percaya pelabur belum bulat dan likat. Hari ini, persaingan ekonomi bukan biasa-biasa.

Memang benar, tidak ada kerajaan yang sempurna dan maksum seluruhnya. Kelemahan, ada. Kesilapan juga barangkali ada. Tapi kita semua ada jalan dan saluran menyatakan ketidakpuasan hati.

Dalam banyak hal, saya sendiri yakin ada ruang penambahbaikan. Namun, saranan itu mesti berlaku dalam jalan politik yang wajar dan tepat.

Negara kita telah membazirkan lebih sedekad dengan “politik kabilah dan nombor” ini. Berapa lama lagi kita mahu merosakkan kestabilan negara dan kerajaan?

Asas masalahnya, “the trouble is, we call politics a game, but it isn’t one”. Prinsip “anything goes” tidak terpakai dalam ruang politik yang punya etika dan kompas moral sebenar.

Diri saya sendiri menjadi sebahagian proses dan denai demokrasi. Suatu ketika, saya bergelar “Menteri”. Hari ini, tidak lagi. Inilah sebahagian proses demokrasi.

Sementara saya pernah dijulang tinggi oleh parti; hari ini, menjadi tanggungjawab saya untuk memberi dokongan penuh kepada pimpinan dan rakan-rakan Umno yang berada dalam Kerajaan. Ini sama sekali tidak bermakna saya perlu bersetuju semua perkara.

Namun, ia akan disampaikan dalam parameter dan lingkungan disiplin parti yang tinggi. Parti berhak dihormat tinggi dalam pada saya menyatakan pandangan diri.

Keputusan PRU15 juga wajar terus dihormati. Kerajaan dan Perdana Menteri yang ada telah berjaya membuktikan keabsahan di Parlimen. Belanjawan 2023 juga berjaya diluluskan tanpa sebarang isu dan masalah berbangkit.

Tidak sukar sebenarnya jika terus memberi hormat dan wibawa kepada kerajaan hari ini. Proses dan perjalanan demokrasi telahpun berlaku. Tidak perlu rasanya kita menyemarak emosi penyokong dengan khayalan dan mimpi politik.

Siri Pilihan Raya Negeri akan berlaku sedikit masa lagi. Itulah medan buat rakyat menyatakan pendirian serta penerimaan di peringkat negeri; dan keputusannya kelak harus diterima dengan hati yang terbuka. Bukan dengan pimpinan dan kumpulan tertentu terus-terusan membenih komplot dan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan.

Ini masa kita meninggalkan sepenuhnya politik dendam dan membawa “tajdid siyasi”, politik baharu yang jauh lebih munasabah, lebih bertanggungjawab dalam membawa kesejahteraan kepada rakyat, rimbun dengan prinsip amanah dan integriti.

Janganlah kita hanya sekadar jadikan rakyat sebagai sandaran untuk melonjak diri dengan kesudahan yang tidak bertepi. – 5 Mei, 2023.


* Reezal Merican Naina Merican, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen