Ampun atau tak ampun?


Hishamuddin Rais

Pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak menjadi perbualan nasional pada musim raya. Umno dikatakan menguruskan permohonan pengampunan diraja untuk bekas presidennya itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2023.

HEBOH tentang hal pengampunan Najib Razak. Pengampunan Najib menjadi perbualan nasional di musim raya. Najib yang dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara dalam kes SRC  tahun lalu.

Kini Najib seorang banduan di penjara Kajang. Berita tersebar sebelum bulan puasa, malah bila saja Najib masuk ke Kajang berita dan desas-desus banduan Najib ini akan meminta ampun tersebar.

Berita sebelum bulan puasa melaporkan Najib minta ampun melalui usaha yang diurus United Malaya National Organisation. Maklumat dari laporan media ini merebak luas.

Berita ditambah dengan garam masala rempah ratus dan aji no moto. Pemerhati politik genre bas mini dan genre tik tok mula heboh memberi pandangan.

Malah ada berita yang melaporkan Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone ini akan berhari raya di Jalan Duta, bukan dalam sel di Kajang. Amin.

Minta ampun ini bukan sesuatu yang baru. Najib bukan sosok pertama minta ampun. Najib juga bukan sosok terakhir yang akan meminta ampun.

Ada beberapa perkara yang perlu dijelaskan kepada umum. Rakyat dan orang ramai kecil besar tua muda wajib mendapat pencerahan tentang: apa dia pengampunan.

Pada ketika ini perkara pengampunan ini dilihat kabur dan tidak jelas. Justeru rakyat wajib diberi pencerahan tentang pengampunan.

Rakyat dan orang ramai memiliki kepentingan untuk tahu selok belok pengampunan. Pada ketika ini agenda pengampunan ini seperti gerakan kongsi gelap. Bergerak senyap-senyap dengan tersusun dan tiba-tiba meledak membawa berita.

Sistem pengampunan untuk pada banduan seperti Najib ini bukan hanya wujud di Malaysia. Pelbagai negara di dunia ini ada mengamalkan sistem pengampunan. Selagi ada hukuman, selagi ada pencuri, selagi ada penjara – pengampunan akan wujud.

Kesalahan dibuktikan di mahkamah. Hukuman ditetapkan oleh Tuan Hakim. Badan dimasukkan ke dalam penjara. Maka di sinilah muncul konsep minta ampun atas kesalahan yang dilakukan.

Badan yang salah minta ampun daripada pihak yang menghantar badan masuk ke penjara.

Dalam kes songlap 42 juta ringgit duit SRC, badan itu ialah badan Najib.

Dalam sistem demokrasi Amerika dunia diberitahu pada akhir pentadbiran sesebuah pentadbiran sama ada Republikan atau Demokrat, Sang Presiden berhak untuk memberi pengampunan.

Pengampunan di Amerika ada pelbagai bentuk. Daripada hukum mati jadi hukum penjara. Daripada penjara panjang jadi penjara singkat. Daripada penjara singkat boleh terus ke parol.

Justeru kita membaca berita tentang soldadu Chelsea Manning yang diampunkan oleh Obama.  Soldadu ini didapati bersalah kerana membocorkan maklumat sulit Perang Iraq kepada Julian Assange, pengendali Wikileaks.

Chelsea Manning dipenjara 35 tahun. Dia salah seorang yang diberi pengampunan oleh Obama, presiden dari Demokrat ketika Obama meninggalkan jawatan presiden. 

Trump dari Republikan pula mengampunkan lima pegawai yang bekerja di Pejabat Presiden termasuk penasihat politiknya. Juga diampun sama ialah Steve Bannon, pakar strategi dan ketua propaganda Trump.

Kita juga ada membaca berita pengampunan oleh Raja Siam. Agensi berita Tass pada 12 Disember, 2016 melaporkan bagaimana Raja Siam Maha Vajiralongkorn pada hari pertabalan memberi pengampunan kepada 30,000 warga Siam yang duduk dalam penjara.

Orang tahanan OKU, banduan berpenyakit, banduan pesakit HIV, banduan yang diserang barah atau sakit jiwa, semuanya diampunkan. Hanya perogol dan tokan dadah dinafikan pengampunan.

Kita juga ada membaca setiap kali pada hari sambutan keputeraan Raja Siam akan ada penjenayah di penjara yang akan dapat pengampunan.

Di Indonesia juga Pak Presiden ada budi bicara untuk memberi pengampunan kepada penjenayah yang meringkuk dalam penjara.

Portal berita CNN Indonesia melaporkan pada 26 Disember, 2019 warga Australia Scott Rush menulis surat kepada Presiden Jokowi. Dia minta ampun daripada Presiden Jokowi. Warga Australia ini dipenjara seumur hidup kerana menyeludup dadah heroin ke Bali.

Rush ditangkap pada April 2005 ketika berumur 19 tahun. Ketika dia menulis surat kepada Jokowi umurnya 34 tahun.

Apa yang sama ialah semua banduan yang meminta ampun ini bertahun dalam penjara. Banduan ini ada yang menjalani lebih setengah daripada hukuman. 

Malah semua banduan yang minta ampun ini mengakui kesilapan, menyesal dan minta maaf  dan ingin berubah.

Hakikatnya, sistem memberi ampun ini bukan sesuatu yang asing. Cara, bagaimana, apa kriteria untuk banduan diampunkan di Amerika atau Siam atau Indonesia bukan pinggan nasi kita di Malaysia. Kita tidak perlu tahu pinggan nasi orang lain secara terperinci.

Pinggan nasi gulai ikan dan sambal tempoyak kita tidak perlu dibandingkan dengan negara asing. Di sini kita makan maka di sini kita basuh pinggan. Kita wajib tahu pinggan mangkuk dan dulang nasi kita sendiri.

Justeru masanya telah tiba untuk kita sebagai warga – yang berkepentingan ke atas negara kita  wajib diberitahu secara detail tentang sistem pengampunan yang berjalan di Malaysia.

Pertama: Rakyat dan orang ramai wajib diberitahu siapa yang menjadi anggota Lembaga pengampunan ini.

Nama ahli Lembaga ini wajib diketahui umum. Bagaimana dan apa kriteria sosok ini menjadi anggota Lembaga ini.

Ini untuk membolehkan nama dan sosok yang menganggotai Lembaga ini wajib diyakini orang ramai. 

Ini untuk mengelak timbulnya desas desus dan segala macam cerita dongeng yang memperlekeh kewibawaan Lembaga ini.

Ketelusan wajib menjadi benteng Lembaga ini.

Kedua:  Berapa kali dalam setahun Lembaga ini bermesyuarat.

Ketiga: Di mana mesyuarat Lembaga ini dijalankan. Pasti bukan di Old Town Cafe di Jalan Thambypillai Brickfields. Bukan kerana cafe ini ditutup tapi tempat sedemikian tidak masuk akal.

Pertanyaan – bertemu di mana?

Keempat: Apa ciri dan syarat yang diperlukan sebelum Sang Banduan boleh meminta ampun.

Apakah Sang Banduan menjalani sebahagian daripada hukuman? Telah menjalani setengah hukuman, satu pertiga daripada hukuman?

Atau masuk saja ke Penjara Kajang, esoknya Sang Banduan boleh minta ampun. Lusa Lembaga pengampunan bersidang dan pada hari keempat Sang Banduan dibebaskan dari Penjara Kajang.

Kelima: Siapa yang meminta ampun? Apakah Sang Banduan akan meminta melalui peguam? Apakah isteri, anak atau ibu bapa banduan boleh mengajukan permintaan ampun?

Kalau isteri boleh minta ampun – isteri pertama atau isteri kedua?

Dalam kes Najib dilaporkan United Malays National Organisation yang memohon ampun. Ini kerana Najib adalah bekas presiden parti ini.

Apakah organisasi politik dibenarkan? Ini tidak jelas dan menimbulkan pelbagai syak wasangka.

Keenam: Siapa yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga ini ?

Ketujuh: Apa peranan Yang di-Pertuan Agong? Kenapa YDPA terlibat? Bagaimana keterlibatan YDPA?

Kelapan: Apa peranan perdana menteri? Dalam negara yang mengamalkan raja berperlembagaan dan berparlimen, YDPA hanya menerima nasihat daripada perdana menteri. Apakah sama dalam Lembaga ini?

Kesembilan: Apa pula peranan Raja-Raja Melayu yang lain? Bolehkah minta ampun daripada mereka?

Kesepuluh: Bolehkah Sang Banduan meminta ampun daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah atau Sarawak?

Kesebelas: Perkara percanggahan kepentingan – clash of interest. Dalam kes rayuan Najib ditimbulkan perkara bagaimana Hakim Nazlan dikatakan ada cacat kerana hakim ini adalah juga penasihat kepada bank yang menguruskan hal ehwal syarikat SRC.

Maka apakah tidak ada percanggahan kepentingan jika Perdana Menteri Anwar Ibrahim duduk dalam Lembaga Pengampunan. Dalam masa yang sama Anwar memerlukan sokongan Najib agar parti United Malays National Organisation terus memasak Pakatan Harapan (PH).

Babak ini memerlukan  penjelasan.

Pasti ramai banduan yang menerima pengampunan daripada YDPA atau daripada Raja-Raja Melayu. Ini tidak dipersoalkan.

Apa yang diperlukan pada tahap ini adalah pencerahan tentang Lembaga Pengampunan ini.  Keperluan ini timbul kerana ada kes contoh: kes pengampunan Anwar.

Anwar didapati bersalah kerana meliwat Saiful Bukhari. Anwar dimasukkan ke penjara Sungai Buloh.

Apabila PH menang pada PRU14 Anwar dibebaskan setelah menjalani hampir semua masa tahanan.

Pengampunan Anwar ini menimbulkan kontroversi. Ini ditimbulkan pelbagai pihak terutama yang memusuhi Anwar.

Banyak persoalan ditimbulkan. Justeru dalam kes Najib ini pencerahan dan penerangan wajib disampaikan kepada orang ramai.

Dalam kes Lembaga Pengampunan ini timbul konsep budi bicara.

Ini satu perkara yang wajib ditolak. Konsep ini tidak boleh dipakai. Konsep ini menjemput salah guna kuasa. Konsep budi bicara ini akan menjemput dan memangkin rasuah.

Sebagai contoh: Konsep budi bicara seseorang itu diakui wujud kalau buah limau itu hak mutlak milik peribadi Abdul Mangkuk. Atau hak mutlak milik Mak Bapak Abdul Mangkuk. 

Dalam kes limau Abdul Mangkuk ini orang ramai tidak ada hak untuk mempertikaikan malah tidak perlu bertanya sebab musabab kenapa Abdul Mangkuk memberikan buah limau itu kepada Minah Tembam.

Ke mana buah limau itu pergi adalah mengikut budi bicara Abdul Mangkuk. Amin.

Dalam hal pengampunan banduan pasti kita memerlukan rujukan dan panduan. Dalam kes Najib ini bukan saja rakyat Malaysia memerlukan pencerahan dan mengetahui rujukan malah rakyat dunia juga wajib berkongsi maklumat.

Ini kerana kes 12 tahun Najib masuk penjara menjadi tajuk berita CNN, BBC, NYT, ABC,   Fox TV dan berpuluh-puluh media dunia. Najib dengan bangganya menjadi perbualan global. Amin.

Oppps… sebelum terlupa. Selain penjara 12 tahun, Najib juga didenda RM210 juta. Untuk diampun apakah Najib wajib bayar terlebih dahulu denda? – 5 Mei, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen