RIBUAN orang mengunjungi tokong Buddha di Brickfields malam ini untuk meraikan perarakan Hari Wesak selepas tiga tahun ia tidak diadakan disebabkan pandemik Covid-19.
Penganut dan pelawat menyertai perarakan yang bermula dari Buddhist Maha Vihara di Jalan Berhala, Kuala Lumpur dengan laluan sepanjang 12km sekitar ibu kota.
Pengerusi Rukun Tetangga Brickfields S.K K Naidu berkata ia sesuatu yang menakjubkan untuk meyaksikan perarakan yang berdekad lamanya menarik perhatian ramai pada malam Hari Wesak di kawasan itu.
“Kami sangat gembira melihat Brickfields kembali meriah dengan aktiviti keagamaan seperti ini.
“Sudah terlalu lama dan kami gembira untuk melihat ramai orang terlibat dalam perarakan ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Perarakan malam ini melintasi jalan utama Kuala Lumpur seperti Jalan Petaling, Jalan Yap Ah Loy, Jalan Raja Chulan, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Pudu.
Sekitar 60 ahli Persatuan Penganut Buddha Wilayah Persekutuan dan Selangor terlibat dalam penganjuran malam ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke meraikan himpunan penganut Buddha dan pelawat yang datang.
“Pada tahun 2019, saya di sini untuk merasmikan perarakan. Hari ini saya diberi penghormatan sekali lagi.
“Perpaduan, perkataan yang sering kita dengar. Ia adalah kunci untuk kita hidup dalam persekitaran yang aman. Saya berharap generasi masa depan kita juga akan dapat terus menikmati keamanan ini,” katanya. – 4 Mei, 2023.

Komen