SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia (Suhakam) hairan bagaimana seseorang yang mendera pembantu rumahnya dikenakan hukuman ringan atas kesalahannya itu.
Pengerusi Suhakam Razali Ismail berkata pihaknya tidak berpuasa hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen yang hanya menjatuhkan hukuman bon berkelakuan baik selama lima tahun terhadap Rozita Mohd Ali.
“Seorang pembantu rumah telah didera secara fizikal oleh majikannya.
“Keputusan ini bukan sahaja membangkitkan persoalan mengenai ketidakadilan dan kekurangan perlindungan untuk pekerja asing di bawah undang-undang Malaysia, malah dilihat memihak terhadap majikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Minggu lepas, Mahkamah Sesyen mengarahkan Rozita supaya dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM20,000 kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumah warga Indonesia, Sutanti Sutrinso. Pemerhati dan peguam melihat hukuman itu terlalu ringan dan tidak setimpal.
Rozita, 44, didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop lantai, sekaki payung, sebatang rod besi berwarna biru, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju berwarna putih sebagai senjata untuk menyerang.
Razali turut mempersoalkan tindakan timbalan pendakwa raya yang menawarkan hukum lebih ringan meskipun sedar pembantu rumah itu mengalami kecederaan parah.
“Dakwaan dan hukuman yang lebih rendah boleh dianggap sebagai pilih kasih seperti mana yang dirungutkan banyak pihak.”
Semalam, Duta Besar Malaysia di Indonesia Zahrin Mohamed Hashim berkata Indonesia masih mahu menghantar tenaga kerjanya ke Malaysia walapun terdapat kes penderaan baru-baru ini.
Beliau berkata kejadian terbaru membabitkan Rozita yang mendera pembantu rumahnya itu tidak mencetuskan bantahan di Indonesia.
Satu petisyen di change.org yang diwujudkan pada Sabtu lepas bagi menuntut tindakan yang lebih keras terhadap Rozita menerima lebih 63,000 sokongan. – 20 Mac, 2018.
Komen