BEKAS menteri sumber manusia M Saravanan tidak dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait tuduhan rasuah pengambilan pekerja asing, kata laporan yang memetik sumber dalaman MIC/
Laporan FMT menyebut sumber itu menafikan laporan di media sosial yang mendakwa timbalan presiden MIC itu dipanggil untuk disoal siasat oleh SPRM dua minggu lalu.
Siasatan itu sepatutnya menjadi sebahagian siasatan kes yang sedang berjalan melibatkan penahanan dua pegawai menteri V Sivakumar dan seorang ahli perniagaan.
“Tiada siasatan dijalankan. Ia mengarut,” kata sumber itu yang dipetik FMT.
Sumber itu berkata sudah bercakap sendiri dengan Saravanan berhubung perkara itu.
Namun Saravanan tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan penjelasan berkait dakwaan itu.
Baru-baru ini tular di media sosial yang menyebut Saravanan dan bekas pegawainya di kementerian tersebut disoal siasat SPRM, dua minggu lalu.
Bulan lalu SPRM mengambil keterangan Sivakumar selepas setiausaha sulitnya ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah pengambilan pekerja asing.
Penahanan itu dibuat selepas seorang pegawai tugas-tugas khas Sivakumar direman.
Sebelum itu media melaporkan pegawai tugas-tugas khas tersebut ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pengambilan pekerja asing. – 3 Mei, 2023.
Komen