SPRM tahan guru besar minta, terima rasuah RM10,000


Guru besar sebuah sekolah di Kluang disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM10,000 tahun lepas daripada seorang pengusaha kantin sebagai dorongan untuk memudahkan urusan tuntutan Rancangan Makanan Tambahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei 2023.  

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang guru besar di sebuah sekolah di Kluang kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM10,000 tahun lepas.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 56 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Kluang pada kira-kira pukul 10.30 pagi tadi selepas hadir memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

“Difahamkan, lelaki tersebut telah meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang pengusaha kantin dari sekolah yang sama sebagai dorongan untuk memudahkan urusan tuntutan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu,”  katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Lelaki tersebut itu telah dilepaskan dengan jaminan SPRM. – Bernama, 2 Mei 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen