Etnik Bidayuh lakukan perjalanan suci peringati nenek moyang 


Desmond Davidson

Etnik Bidayuh dari suku Jagoi-Bratak meraikan sambutan sebagai mengenang nenek moyang mereka yang menetap di Bung Bratak 800 tahun dahulu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Desmond Davidson, 1 Mei, 2023.

RIBUAN penduduk, majoritinya etnik Bidayuh, mengambil kesempatan cuti umum hari ini untuk mengambil bahagian dalam mendaki Bung Bratak atau Bukit Bratak setinggi 304m di Bau, kira-kira 40km dari Kuching.

Bukit itu amat penting - malah ada yang menyifatkannya sebagai suci - kepada kaum Bidayuh dari suku Jagoi-Bratak kerana di sinilah tempat nenek moyang mereka menetap selepas berhijrah dari Sungkong di Kalimantan Barat kira-kira 800 tahun dahulu.

Menurut penyelidik masyarakat, Peter Minos, dipercayai kira-kira 35 kampung Bidayuh di daerah Bau dan Lundu hari ini boleh dikatakan berasal daripada peneroka pertama Bung Bratak.

Kampung atlet terjun negara Pandelela Rinong, Kpg Jugan, merupakan salah satu daripada kampung tersebut.

Pendatang Sungkong adalah petani yang datang untuk mencari tanah yang subur. Mereka menjumpainya di kaki bukit manakala penempatan mereka di atas bukit itu boleh dipertahankan dengan mudah daripada musuh.

Menurut Minos, kehidupan mereka yang tenang telah musnah pada tahun 1837 apabila penempatan mereka diserang dan dihancurkan oleh etnik lain.

Semua golongan tua dilaporkan terbunuh dan yang muda diculik. Anak-anak muda yang berkemampuan, yang bekerja di ladang, adalah satu-satunya yang terselamat.

Mereka kemudian meminta bantuan daripada James Brooke, rajah kulit putih pertama, yang pada tahun 1841 menganjurkan ekspedisi untuk menyelamatkan kanak-kanak yang ditawan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Abdul Karim Hamzah, yang menyertai pesta tahun ini, menyifatkan Bung Bratak hari ini dengan pusat warisannya yang dikelilingi oleh kawasan yang terjaga rapi dan indah, sebagai “sekeping permata” yang harus dipromosikan oleh pelancongan tempatan. 

Beliau berkata tempat itu mempunyai banyak perkara yang menarik perhatian pelancong asing - keindahan alam semula jadi hutannya dan pendakian singkat bagi mereka yang suka aktiviti riadah.

Di puncak bukit, pengunjung akan disajikan dengan pemandangan indah sejauh mata memandang.

Karim berkata Bung Bratak sesuai dengan tema budaya 31 kumpulan etnik di negeri ini yang adat, budaya, makanan, tarian dan cara hidup beliau mahu dipromosikan kepada pelancong.

“Ia untuk mempamerkan keunikan budaya Sarawak.” – 1 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen