Semua banduan termasuk Najib berhak merayu, kata Anwar


Ravin Palanisamy

Najib Razak sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara selepas disabit bersalah atas dakwaan penggubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2023.

SEMUA individu yang disabit bersalah berhak merayu dan memohon pengampunan diraja, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini, merujuk kepada usaha mendapatkan pengampunan untuk Najib Razak.

Katanya, semua permohonan akan disemak secara profesional dan tanpa berat sebelah.

“Seperti yang saya kata, semua orang sabit bersalah atau banduan berhak untuk merayu dan kita akan pertimbangkan kes dan semak ikut budi bicara, profesional tanpa prejudis.

“Ini pendirian kita,” kata Anwar kepada wartawan hari ini ketika ditanya pendirian Pakatan Harapan (PH) tentang pengampunan diraja untuk Najib.

Kenyataan Anwar itu dikeluarkan susulan kemelut antara Umno dan Amanah-salah satu parti komponen PH- tentang usaha mendapatkan pengampunan diraja untuk Najib sejak beberapa hari lalu.

Semalam, Amanah meminta maaf kepada Umno berikutan kenyataan Pengarah Komunikasinya Khalid Samad sebelum itu, yang meminta Yang di-Pertuan Agong untuk menolak permohonan pengampunan Najib.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub sendiri melanjutkan permohonan maaf itu kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, saya bagi pihak Amanah memohon maaf atas kenyataan dikeluarkan oleh Khalid.

“Sebarang keterlanjuran itu bagi saya biasalah untuk orang politik. Kadang kala kita terlanjur dan tidak ada malunya kita memohon maaf sekiranya ia melukakan,” katanya,

Permohonan maaf itu dikeluarkan selepas Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam kenyataan berkata pendirian Khalid bukan pendirian parti.

Najib sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara selepas disabit bersalah atas dakwaan penggubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa.

Dia juga didenda RM210 juta yang masih belum dibayar.

Bekas ahli Parlimen Pekan itu sedang dalam proses memohon pengampunan diraja setelah kesemua saluran perundangan mahkamah mengekalkan hukumannya.

Bagaimanapun, hari ini Anwar berkata Lembaga Pengampunan tidak membincangkan permohonan Najib dalam mesyuarat terbaru bersama Yang di-Pertuan Agong. – 1 Mei, 2023.

Menyusul


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen