Calon proksi lompat parti wajah baharu demokrasi?


G Manimaran

SEJURUS selepas Dewan Rakyat meluluskan peruntukan bagi mengekang dan melarang perbuatan wakil rakyat melompat parti pada tahun lalu, beberapa rakan media dan ahli politik melahirkan kegembiraan dan keyakinan tidak akan ada lagi kes-kes sedemikian. 

Dalam lain perkataan mereka berpandangan negara berjaya mewujudkan satu kerangka perundangan yang cukup baik bagi menoktahkan usaha mana-mana ahli dewan perundangan untuk keluar parti mereka lalu menyertai pihak lain.

Peruntukan itu turut terpakai kepada wakil rakyat bebas.

Saya mengatakan tidak kepada pandangan mereka. 

Peruntukan yang digubal pada Julai 2022, beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebenarnya tidak cukup kuat.

Tidak cukup kukuh. Masih belum mantap untuk melihat satu persekitaran politik yang benar-benar bebas daripada perbuatan keluar gabungan atau parti.

Di sebalik proses ada yang mengatakan lebih baik ada satu undang-undang daripada tiada langsung.

Pindaan dan penambahbaikan akan dibuat kemudian. Itu kata-kata menenangkan pihak-pihak yang memperjuangkan undang-undang sedemikian.

Hujah saya bersandarkan kepada dua keadaan.

Pertama, meskipun penggubalan undang-undang terbaharu itu melarang wakil rakyat individu, tetapi tidak terpakai kepada parti yang memutuskan untuk keluar secara kolektif daripada mana-mana gabungan yang mereka bertanding sebagai rakan seperjuangan.

Kawalan semasa lebih bersifat mikro, bukannya makro melibatkan parti politik.

Penekanan kedua saya ialah boleh wujud calon proksi dalam pilihan raya kecil apabila seseorang wakil rakyat yang mahu dan memutuskan untuk keluar partinya. 

Saya mengandaikan bahawa anggota dewan perundangan yang berhadapan dengan masalah dalaman parti atau “dipinang” oleh mana-mana parti lain atau kumpulan tertentu, boleh keluar dan bertanding dalam pilihan raya kecil dengan sokongan dan pengaruh parti yang meminangnya. 

Wakil rakyat berkenaan boleh bertanding dengan diberikan segala sumber, terutama kewangan dan jentera parti untuk tujuan berkempen asalkan menyokong mereka untuk kekal berkuasa atau untuk membentuk kerajaan.

Mereka akan menjadi calon proksi. Mereka boleh bertindak calon bebas dan jika menang menyokong kumpulan, gabungan atau parti yang menyokongnya dari luar bagi membentuk kerajaan ataupun mengukuhkan kerajaan yang mereka bentuk. 

Akhirnya, mereka hanya memerlukan nombor atau bilangan di Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri.

Apakah keadaan ini boleh berlaku? Ya, boleh. Sudah tentu boleh berlaku. Dan, kita sudah pun mula mendengar desas-desus sedemikian dan ke arah itu. 

Ada laporan media mengatakan sudah ada kumpulan atau tokoh tertentu yang mahu menaja tindakan sedemikian.

Setakat ini ia kekal spekulasi dan beberapa parti individu telah menafikan pendekatan sedemikian. Belum ada wakil rakyat yang memutuskan untuk keluar parti.

Ruang untuk melihat situasi sedemikian ada di bawah undang-undang semasa.

Malah, ada parti yang berhadapan dengan masalah dalaman yang terus berlarutan, yang kemungkinan membolehkan kes-kes sedemikian wujud untuk membuktikan kekuatan dan pengaruh seseorang wakil rakyat, sebagaimana yang pernah disaksikan pada tahun 1980-an di Sabah dan Johor. 

Tindakan Shahrir Abdul Samad dan Joseph Pairin Kitingan yang bertanding dalam pilihan raya kecil, membuktikan pengaruh mereka dan mereka menang dalam cubaan mereka. 

Tindakan kedua-dua mereka juga telah membawa kepada penguatkuasaan peruntukan yang melarang wakil rakyat yang dengan sendirinya meletakkan jawatan daripada bertanding dalam mana-mana pilihan raya selama lima tahun (atau satu penggal).

Bagaimanapun peruntukan itu telah digugurkan apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk melarang perbuatan melompat parti.

Dalam lain perkataan, seseorang yang meletakkan jawatan sebagai anggota Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri atas apa jua alasan dan sebab, yang menjadi daya tarikan kepada desas-desus semasa, boleh untuk bertanding semula dan kekal wakil rakyat dalam wajah baharu jika menang.

Penggubalan undang-undang pada tahun lalu yang bertujuan untuk mengekang perbuatan melompat parti sebenarnya membawa negara satu langkah ke belakang dalam proses memperbaiki peruntukan perundangan supaya kelihatan lebih baik dan efektif. 

Sepatutnya undang-undang perlu menyediakan peruntukan lebih ketat bagi menghukum mana-mana wakil rakyat daripada berhenti atau keluar parti, dan bertanding semula dalam mana-mana pilihan raya.

Mengambil kira perkembangan semasa, dan kepentingan pengundi yang memberikan amanah, Parlimen perlu kembali bersidang untuk memperketatkan undang-undang yang ia luluskan tahun lalu.

Kembalikan peruntukan larangan bertanding ke atas mana-mana wakil rakyat yang sengaja melepaskan jawatan dan bertanding semula untuk menunjukkan pengaruh atau kekuatan mereka. 

Wakil rakyat perlu mengutamakan kepentingan negara, bukannya menjadikan pilihan raya sebagai gelanggang menunjukkan pengaruh individu atau parti.

Larangan baharu yang disyorkan ini bukan sahaja harus meliputi satu tempoh lima tahun, tetapi selama-lamanya. Ia penting untuk menjadi imej dewan perundangan, status wakil rakyat sebagai anggota penggubal undang-undang dan juga hak pengundi yang memilih wakil rakyat.

Sudah tentu tidak membazirkan wang rakyat bagi tujuan mengadakan pilihan raya kecil bagi kekosongan yang sengaja diwujudkan.

Saya yakin perkara ini akan disokong oleh parti-parti politik. 

Sejurus selepas Parlimen menggubal peruntukan melarang perbuatan melompat parti, beberapa parti utama telah mengambil tindakan meminda perlembagaan masing-masing selari dengan keperluan tersebut.

Ada yang mengatakan pindaan dalaman itu sebagai kejam dan melanggar hak asasi manusia. 

Baru-baru ini, Bersatu dilaporkan memfailkan permohonan kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang tidak mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah. 

Dalam permohonan yang difailkan pada 17 April lalu, parti komponen Perikatan Nasional itu memohon perisytiharan kerusi Papar, Batu Sapi, Ranau, dan Sipitang yang disandang oleh bekas ahli Parlimen Bersatu, sudah dikosongkan.

Dua senario itu menunjukkan keseriusan parti-parti terbabit dalam mengawal perbuatan melompat parti dari sudut dalaman masing-masing.

Justeru, undang-undang yang digubal Julai lalu masih ada kelonggaran dan lompong, yang secara tidak langsung akan menjejaskan matlamat asal memutuskan rantaian perbuatan melompat parti.

Jangan sampai calon proksi menjatuhkan martabat dewan perundangan dan sistem demokrasi. 

Parlimen yang akan bersidang bulan ini wajar mengambil tindakan menambah baik peruntukan berkaitan usaha melarang lompat parti. Betulkan kekurangan dan kecacatan yang masih wujud. 

Jika tidak PRU15 yang diharap akan membawa kestabilan lebih baik tidak akan kesampaian sampai bila-bila. – 1 Mei, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen