Rumah terbuka jadi medan pertarungan politik Melayu


Ruhan Shahrir

Kehadiran Sultan Kedah yang merupakan tunggak kepada simbol keMelayuan negeri, menunjukkan bahawa "kerajaan perpaduan" Anwar Ibrahim mendapat dukungan daripada Istana. – Gambar Jabatan Penerangan, 1 Mei, 2023.

PILIHAN Raya Negeri ke-15 (PRN15) akan berlangsung tidak lama lagi melibatkan enam negeri. Ramai yang menjangkakan ia akan diadakan secara serentak paling lewat awal Ogos akan datang.

Daripada enam negeri tersebut tiga daripadanya Kedah, Kelantan dan Terengganu boleh dikategorikan berada di lingkaran negeri-negeri jantung Melayu atau Malay heartland.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pastinya sedar bahawa “kerajaan perpaduan” beliau kekurangan sokongan daripada masyarakat Melayu-Islam khususnya di lingkaran negeri-negeri jantung Melayu tersebut. Keputusan PRU15 yang lepas sudah pun menunjukkan buktinya yang nyata.

Anwar juga tentunya tahu bahawa sebuah kerajaan tanpa dukungan daripada komuniti yang menjadi teras kepada negara Malaysia, yakni komuniti Melayu, kestabilan kerajaan tersebut cenderung goyah, lemah dan terdedah untuk ditumbangkan menerusi “pintu belakang” pada bila-bila masa sahaja.

Baru-baru ini muncul lagi khabar-khabar yang mengatakan bahawa terdapat usaha sedang dilakukan di sebalik tabir untuk menumbangkan “kerajaan perpaduan” Anwar Ibrahim.

Manakala Umno sebuah parti teras Melayu yang kini menjadi sebahagian daripada “kerajaan perpaduan”, masih belum berjaya sepenuhnya untuk memulihkan wibawa, imej dan kredibilitinya dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam, khususnya apabila presidennya sendiri masih berhadapan dengan 47 pertuduhan kes rasuah, salah guna kuasa dan pelupusan wang haram.

Fakta ini telah dan terus menjadi peluru yang digunakan oleh pembangkang (baca: PN/Pas) untuk menembak “kerajaan perpaduan”. Manakala lagu “Hoi Hoi Ya Hoi” pula sering dikumandangkan untuk “menganjing” kerajaan yang mereka labelkan sebagai “Madanon” yang hipokrit.

Di sisi lain, Amanah, sebuah lagi parti majoriti Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) yang membawa imej “Islam-demokrat” juga masih gagal untuk menembusi kawasan-kawasan yang dikuasai oleh saingan utamanya yakni PAS di lingkaran negeri-negeri jantung Melayu.

Sementara itu, sebuah lagi parti komponen dalam PH, yakni DAP tentunya bukanlah sebuah parti yang boleh menarik sokongan pengundi Melayu di negeri-negeri jantung Melayu tersebut. Malahan DAP mungkin sahaja menjadi beban kepada PKR, Amanah dan Umno dalam usaha mereka untuk meraih dukungan daripada pengundi-pengundi Melayu pada PRN15 yang akan datang.

Begitulah keadaan yang melatari keputusan “kerajaan perpaduan” untuk mengadakan rumah terbuka di enam negeri yang akan terlibat di dalam PRN15 nanti.

Justeru, rumah terbuka dalam konteks ini menjadi medan pertarungan buat “kerajaan perpaduan” dalam usaha mereka merebut undi Melayu khususnya di lingkaran negeri-negeri jantung Melayu yang menjadi kubu kuat parti pembangkang.

Mengadakan rumah terbuka di negeri-negeri tersebut juga membolehkan “kerajaan perpaduan” membuat gambaran awal di lapangan sejauh mana sokongan masyarakat khususnya orang Melayu terhadap mereka bagi menghadapi PRN15 tidak lama lagi.

Umno masih belum berjaya sepenuhnya untuk memulihkan wibawa, imej dan kredibilitinya dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam. – Gambar Jabatan Penerangan, 1 Mei, 2023.

Rumah terbuka adalah sebahagian daripada sumber tradisi di Malaysia yang berakar umbi dari budaya Melayu. Memanfaatkan sumber tradisi Melayu yang sudah sedia ada itu, secara tidak langsungnya memperlihatkan kepada khalayak Melayu khususnya, bahawa “kerajaan perpaduan” walaupun sering ditohmah sebagai “tunggangan DAP” tetapi tetap beriltizam untuk merapatkan jaraknya dengan masyarakat Melayu walaupun di negeri-negeri yang tidak dikuasai mereka.

Perdana Menteri sendiri dalam ucapannya di majlis rumah terbuka Kedah kelmarin telah menyatakan komitmen beliau untuk membantu usaha-usaha membanteras kemiskinan di negeri-negeri tersebut.

Rumah terbuka dalam konteks ini turut menjadi pentas buat Perdana Menteri menyampaikan secara berdepan kepada khalayak yang hadir mengenai visi Madani beliau. Menyampaikan secara langsung kepada puluhan ribu khalayak tentunya lebih intim daripada membaca buku Membangun Negara Madani setebal 187 halaman atau mendengar syarah di media sosial tentang Madani.

Kalau ada yang masih mengatakan bahawa rumah terbuka bukan bermotifkan politik, mereka adalah golongan yang naif. Rumah terbuka adalah strategi politik yang diperlukan oleh “kerajaan perpaduan” yang masih bergelut untuk mendapatkan sokongan undi Melayu.

Dari video-video yang merakam majlis rumah terbuka pertama Perdana Menteri di Kedah kelmarin, dapat dilihat puluhan ribu orang majoritinya Melayu berpusu-pusu hadir dan ramai juga yang berebut untuk bersalaman dengan Perdana Menteri.

Kehadiran Sultan Kedah yang merupakan tunggak kepada simbol keMelayuan negeri, menunjukkan bahawa “kerajaan perpaduan” Anwar Ibrahim mendapat dukungan daripada Istana. Malahan mereka yang mengenakan busana Melayu juga jelas terlihat ramai di majlis tersebut.

Penonjolan simbol-simbol keMelayuan ini pada hemat saya penting untuk meredakan sedikit sebanyak rasa keterancaman Melayu dan memberi keyakinan psikologi kepada masyarakat Melayu terbanyak bahawa walaupun “kerajaan perpaduan” turut dianggotai oleh DAP, namun identiti keMelayuan yang menjadi teras kepada negara Malaysia tidak dipinggirkan.

Namun, memahami latar politik semasa seperti yang saya ungkapkan di awal rencana ini dan bagaimana rumah terbuka menjadi medan buat “kerajaan perpaduan” meraih sokongan masyarakat, akan menemukan kita dengan suatu kesimpulan: bahawasanya kelemahan-kelemahan yang ada pada parti-parti yang membentuk “kerajaan perpaduan” (termasuk PKR) dalam menarik sokongan pengundi-pengundi Melayu khususnya, menyebabkan perlu diturunkan sosok Perdana Menteri sendiri ke negeri-negeri yang menjadi kubu kuat parti pembangkang.

Kajian Merdeka Centre baru-baru ini menunjukkan bahawa Anwar Ibrahim memperoleh “rating approval” hampir 70% daripada keseluruhan responden yang ditemubual. Manakala 60% daripada responden Melayu berpuas hati dengan prestasi Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Justeru itu, populariti beliau yang merentasi batas etnik dan agama, adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal buat masa sekarang tetapi tidak semestinya ia akan kekal, khususnya dalam konteks politik Malaysia yang cair dan anjal.

Namun dalam konteks rumah terbuka yang dibuat di enam negeri tersebut, keputusan “kerajaan perpaduan” menurunkan tokoh tersohor mereka itu pada hemat saya adalah suatu langkah strategik yang mampu digunakan sebagai bahan propaganda untuk disebarkan ke serata platform media, baik menerusi media tradisional mahupun media sosial.

Di saat rencana ini ditulis, sudah beratus-ratus video tersebar ke merata platform media sosial khususnya mengenai acara yang disertai oleh Perdana Menteri di Kedah kelmarin, yang dihadiri menurut Saifuddin Nasution Ismail lebih daripada 25,000 orang hanya dalam tempoh empat jam majlis berlangsung. Suatu jumlah yang cukup besar di negeri yang tidak dikuasai oleh “kerajaan perpaduan”.

Rumah terbuka dalam konteks ini turut menjadi pentas buat Perdana Menteri menyampaikan secara berdepan kepada khalayak yang hadir mengenai visi Madani beliau. – Gambar Jabatan Penerangan, 1 Mei, 2023.

Saya percaya selain daripada ingin menikmati juadah hari raya secara percuma, ramai daripada mereka yang hadir mahu bergambar, mengambil video untuk dikongsi di media sosial masing-masing, berswafoto dan melihat secara dekat tokoh yang banyak orang “gagal menahan diri daripada merasa kagum” itu.

Dari satu sudut rumah terbuka yang dihadiri oleh Perdana Menteri nampaknya setakat ini berjaya mengumpulkan puluhan ribuan orang. Apakah ia akan turut dizahirkan di peti undi PRN15 nanti, itu belum dapat dipastikan.

Namun persoalan yang lebih menarik untuk dipertanyakan – apakah populariti Anwar Ibrahim sudah cukup untuk memenangkan “kerajaan perpaduan” khususnya di lingkaran negeri jantung Melayu itu? Saya musykil.

Masalah yang dihadapi oleh “kerajaan perpaduan” bukanlah Anwar Ibrahim. Seperti mana kajian yang dibuat oleh Merdeka Centre, populariti Anwar relatifnya tinggi, hatta dalam kalangan masyarakat Melayu sekalipun. Kalau sistem politik Malaysia berteraskan kepresidenan, Anwar Ibrahim pasti menang kerusi presiden dengan meninggalkan lawan-lawannya jauh di belakang. Justeru, bukan Anwar yang menjadi masalahnya.

Masalahnya terletak kepada parti-parti yang membentuk “kerajaan perpaduan” itu sendiri (baca: parti-parti yang berpusat di Semenanjung).

Umno masih belum pulih sepenuhnya daripada krisis dalaman mereka. Wibawa, nama baik, kredibiliti dan imej korup serta rasuahnya masih belum hilang daripada persepsi masyarakat.

Amanah ternyata gagal menembusi kawasan-kawasan yang dikuasai oleh PAS di lingkaran negeri-negeri jantung Melayu walaupun telah mencuba beberapa kali.

DAP hakikatnya buat masa ini terus menjadi beban kepada PKR dan Amanah, dan sekarang Umno, untuk parti-parti tersebut menarik sokongan pengundi-pengundi Melayu.

PKR pula hanya mampu memenangi di kawasan kerusi-kerusi campuran atau kawasan yang jumlah pengundi Melayunya bermajoriti kecil. Kemenangan PKR di kawasan-kawasan tersebut pada PRU15 yang lepas cenderung di atas sokongan majoriti bukan Melayu.

Manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu yang merupakan lingkaran negeri-negeri jantung Melayu bukanlah berdemografi seperti Selangor atau Pulau Pinang yang punya banyak kerusi-kerusi campuran.

Justeru, bagaimana “kerajaan perpaduan” mampu untuk memenangkan parti-parti yang bertanding di atas tiketnya jika parti-parti tersebut masih gagal untuk mendapat kepercayaan daripada majoriti masyarakat Melayu yang merupakan pengundi teras di negeri-negeri tersebut?

Justeru, rumah terbuka sebagai sebuah medan pertarungan politik untuk merebut undi tentunya sedikit sebanyak punya pengaruh jika ia dimanfaatkan secara strategik sama ada menerusi sarana atas talian atau bawah talian sebagai bahan pengolah persepsi masyarakat khususnya Melayu yang menjadi pengundi rebutan. Ini tentunya memerlukan propagandis yang cekap, tajam dan mahir.

Namun akhirnya pada hemat saya, sebanyak mana sekalipun rumah terbuka dibuat, dan sebanyak mana sekalipun sosok masyhur Anwar Ibrahim hadir di acara tersebut, jika parti yang membentuk “kerajaan perpaduan” beliau gagal mendapat kepercayaan daripada majoriti pengundi-pengundi Melayu, tidaklah memeranjatkan jika lingkaran negeri-negeri jantung Melayu tersebut kekal dikuasai oleh PN/PAS pada PRN15 nanti. – 2 Mei, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen