PAKATAN Harapan (PH) akan membantah sebarang perubahan peraturan pilihan raya yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketua Setiausaha Sekretariat PH Saifuddin Abdullah mendedahkan, melalui taklimat yang diberi oleh SPR, mereka dimaklumkan bahawa beberapa perubahan akan berlaku dalam parti, iaitu peraturan berkaitan ejen pilihan raya dan ejen mengira undi (Paca) serta pengiraan undi semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
“Kebiasaannya, parti dan calon akan mengemukakan nama Paca sebelum hari mengundi, sekarang yang kita dengar ada kemungkinan ia mesti dikemuka lebih awal.
“Yang keduanya, pengiraan undi dibuat satu demi satu, bermula dengan Parlimen kemudian DUN. Kali ini ia akan dibuat serentak,” katanya Saifuddin pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan menulis surat kepada Pengerusi SPR Hashim Abdullah untuk membantah perubahan tersebut.
“Perubahan ini tidak sesuai untuk pilihan raya. Ia (perubahan) tidak diberitahu secara bertulis, mereka asyik kata itu atau ini yang mungkin, kita tak boleh buat persiapan yang sepatutnya,” katanya.
Menurut laporan Invoke, jentera analisis data raya berkaitan PH sedang berusaha merekrut, melatih dan mengatur kedudukan kira-kira 100 Paca di kerusi-kerusi marginal untuk PRU14 di mana kepakaran mereka mengenali pengundi hantu mampu membawa perubahan antara kemenangan dan kekalahan bagi pembangkang. – 20 Mac, 2018.
Komen