Rakyat Uzbekistan mengundi referendum pindaan perlembagaan


Rakyat Uzbekistan mula mengundi pada Ahad dalam referendum bersejarah mengenai pindaan perlembagaan. – Gambar Twitter, 30 April, 2023.

PENGUNDI di Uzbekistan mula mengundi pada Ahad dalam referendum bersejarah mengenai pindaan perlembagaan yang jika diluluskan kelak bakal mengubah landskap politik, ekonomi dan sosial negara itu.

Proses pengundian dijadualkan berakhir pada jam 8 malam dan keputusan dijangka diumumkan dalam tempoh 10 hari.

Menurut suruhanjaya pilihan raya pusat, terdapat kira-kira 19.72 juta pengundi berdaftar.

Pengundian juga dijalankan di 55 tempat di luar negara manakala di Uzbekistan membabitkan 10,758 pusat mengundi.

Mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas layak mengundi dan hanya perlu menjawab “ya” atau “tidak” untuk soalan “Adakah anda menerima undang-undang perlembagaan mengenai perlembagaan Republik Uzbekistan.”

Kira-kira 500 tetamu asing termasuk dari Malaysia serta wartawan asing turut berada di Tashkent untuk menyaksikan proses pungutan suara itu.

Ketua suruhanjaya daerah Samarkand, Farmon Toshev berkata referendum itu akan meningkatkan reputasi Uzbekistan di mata dunia.

“Tujuan referendum adalah untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Uzbekistan. Ia menyatukan seluruh negeri,” katanya.

Draf perlembagaan referendum itu menyentuh pelbagai aspek seperti pemerkasaan wanita, hak belia, kesihatan dan pendidikan.

Pihak berkuasa berkaitan turut membantu memudahkan proses pengundian di rumah bagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan, warga emas dan orang kurang upaya.

Seorang pelajar undang-undang di universiti negeri Tashkent, Sitora Murodjonova berkata beliau berasa sangat teruja kerana ini kali pertama turun mengundi.

“Referendum itu amat diperlukan untuk kemajuan negara dan rakyat,” katanya.

Lebih 200 pindaan dan penambahan kepada 64 perkara di dalam perlembagaan negara dicadangkan.

Terdapat perbincangan di seluruh negeri dengan lebih 220,000 cadangan diterima daripada rakyat.

Dalam penyediaan draf perlembagaan, pengalaman daripada 190 negara asing termasuk Malaysia turut dipertimbangkan.

Referendum berpaksikan rakyat itu mengambil kira aspirasi generasi muda memandangkan jumlah penduduk negara dijangka mencecah 50 juta menjelang 2040 dengan lebih separuh daripadanya terdiri daripada golongan belia.

Pungutan suara mengenai pindaan perlembagaan itu adalah sebahagian daripada pembaharuan yang dilaksanakan oleh Presiden Shavkat Mirziyoyev sejak menjadi presiden sementara pada September 2016. – Bernama, 30 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen