Syarikat penerbangan butik Sarawak berdepan cabaran sukar, kata pakar


Desmond Davidson

Pakar berkata syarikat penerbangan butik milik kerajaan Sarawak akan memasuki pasaran yang sukar kerana perlu bersaing dengan syarikat besar lain. – Gambar EPA, 29 April, 2023.

KETIKA mereka dalam industri penerbangan tidak sabar menanti model perniagaan Premier Sarawak Abang Johari Openg bagi syarikat penerbangan butik negeri itu, satu perkara yang semua bersetuju ialah syarikat penerbangan itu akan berdepan cabaran besar.

Syarikat penerbangan belum dinamakan itu akan memasuki pasaran yang sukar, kata Henry Sia yang sudah berkecimpung dalam industri penerbangan selama 29 tahun.

“Pasaran bukan sahaja sangat lemah pada masa ini, ia kecil dan sangat sesak,” kata anak kelahiran Sarawak itu, yang kini warga Australia, memberitahu The Malaysian Insight.

Beliau merujuk kepada syarikat penerbangan seperti Malaysia Airline (MAS), Royal Brunei Airline (RBA), Bek Air, syarikat penerbangan tambang murah AirAsia, Firefly, MyAirline, Malindo, Batik Air, dan Scoot yang terbang masuk dan keluar dari Kuching.

“Ia iabarat seorang lelaki kecil dan lemah yang cuba berlawan dengan lelaki besar.”

Sia berkata syarikat penerbangan negeri itu tidak akan bertahan jika ia hanya menumpukan kepada pasaran tempatan.

“Ia adalah pasaran kecil. Ia perlu menarik pasaran asing,” katanya.

“Ia perlu membawa penumpang ke destinasi tempatan, kemudian ke pelbagai destinasi Asean yang lain.”

Beliau berkata kos asas perlu dikekalkan pada tahap minimum tetapi masih kompetitif dari segi perkhidmatan dan kos.

Sia pernah bekerja dengan RBA sebagai pengurus stesennya di Brisbane dan Sydney dan Etihad Airways sebagai pengurus lapangan terbangnya di Sydney, Kuala Lumpur dan Abu Dhabi. Pada Disember 2020, beliau menjadi pengurus operasi terminal Etihad di Abu Dhabi. 

Sia berkata syarikat penerbangan mendapati sukar untuk menarik pelancong asing ke Sarawak.

Beliau berkata semasa MAS mengendalikan penerbangan terus Kuching-Perth-Kuching, beliau masih ingat yang beliau satu-satunya penumpang dalam salah satu penerbangan ke tanah air. Penerbangan itu kemudian dihentikan.

Beliau berkata daripada apa yang didedahkan premier Sarawak itu, satu kelebihan besar bagi syarikat penerbangan baharu itu ialah, kecuali Scoot dari Singapura, tiada syarikat penerbangan yang terbang terus dari negara Asean ke Kuching.

Abang Johari berkata syarikat penerbangan itu, dengan habnya di Kuching, akan terbang ke bandar seperti Singapura, Bangkok, Jakarta, Manila dan beberapa bandar raya Asean lain. Ia juga akan terbang ke bandar di selatan China, Jepun dan Korea Selatan.

“Ada potensi tetapi sukar kerana kebanyakan orang mementingkan bajet. Struktur tambang mestilah sangat kompetitif, terutamanya berbanding tambang musim rendah AirAsia dan MAS,” katanya.

Bagi syarikat penerbangan butik itu terus hidup, Sia berkata produk yang ditawarkan juga mestilah “jauh lebih unggul” daripada apa yang ditawarkan MAS, AirAsia, Scoot dan syarikat penerbangan lain.

Seperti orang lain, Sia turut tertanya-tanya jenis perkhidmatan dalam penerbangan yang akan ditawarkan oleh syarikat penerbangan negeri itu.

Perkhidmatan itu, sama ada penuh seperti MAS, bajet seperti AirAsia dan Scoot atau separa seperti Malindo dan Batik, akan memberi kesan kepada kos operasinya.

Beliau berkata jika Abang Johari belum memutuskannya lagi, kajian kebolehlaksanaan perlu dilakukan untuk mengukur apa yang rakyat mahukan. – 29 April, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen