DANA Persaraan Penjawat Awam (KWAP) hanya akan memutuskan untuk melabur dalam projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia selepas kajian rancangan pembangunan untuk dua projek gergasi itu dilakukan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata dana itu yang menguruskan tabung persaraan kakitangan awam hanya akan mempertimbangkan untuk melabur dalam dua projek itu sekiranya menemui rakan usaha sama yang sesuai.
“Kami perlu melihat peluang, siapa yang akan menjadi pemaju utama,” kata Wan Kamaruzaman kepada wartawan selepas pelancaran pejabat baru KWAP.
“Kami juga perlu melihat sekiranya kami boleh bekerjasama dengan pihak lain kerana kami tidak mempunyai kemampuan atau keupayaan untuk melakukannya sendiri.”
Laporan sebelum ini membuat spekulasi yang KWAP berminat untuk membeli tanah TRX untuk ibu pejabat barunya. Ini kemudiannya dinafikan KWAP.
TRX dan Bandar Malaysia ialah projek hartanah utama di tengah-tengah Kuala Lumpur yang sebelum ini dimiliki syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Selepas siasatan bermula ke atas 1MDB atas dakwaan penipuan, pengubahan wang haram dan salah tadbir korporat, dua projek itu diambil alih Kementerian kewangan.
Dalam laporan terdahulu, pemaju utama TRX, TRX City Sdn Bhd mengumumkan yang 60% daripada 70 ekar tanah dalam projek TRX itu sudah dijual.
Berlainan pula dengan Bandar Malaysia yang ditimpa masalah selepas kementerian menamatkan urus niaganya dengan bekas pemaju utama, IWH-CREC Sdn Bhd kerana gagal membayar RM7.41 bilion untuk 60% pegangan dalam projek itu mengikut jadual.
IWH-CREC adalah usaha sama antara China Railway Engineering Corp (CREC) dan Iskandar Waterfront Holdings (IWH).
Dilaporkan yang Kumpulan Dalian Wanda dari China kini mendahului bidaan untuk menjadi pemaju utama baru projek berkenaan. – 5 Jun, 2017.
Komen