SEORANG saksi penting yang melihat penculikan aktivis Amri Che Mat pada November 2016 mendedahkan yang polis hanya mengambil keterangannya mengenai kejadian itu pada Januari tahun ini.
Pengendali restoran Syed Amri Syed Abdul Jalil memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang beliau pertama kali bertemu polis selepas sehari menyaksikan kejadian itu pada 25 November 2016.
“Keesokan harinya (selepas penculikan itu berlaku), dua pegawai polis datang ke kedai dan saya beritahu mereka apa yang berlaku.
“Kami berbual sahaja. Seminggu selepas itu Inspektor Shaikirin dari IPD Kangar pula datang ke restoran.
“Kami bercakap dan pergi melawat kawasan kejadian,” katanya.
Pesuruhjaya Suhakaman Mah Weng Kwai bertanya sama ada Syed ada menandatangani sebarang kenyataan daripada polis.
Syed mengatakan keterangan rasmi yang ditandatanganinya adalah pada Januari tahun ini.
“Saya dipanggil ke IPD Kangar oleh Inspektor Khor Yi Shuen. Beliau merekodkan keterangan saya mengenai kejadian itu dan saya tandatangan.
“Antara 2016 dan 2018 tiada sebarang komunikasi dengan polis,” katanya.
Selepas pegawai Suhakam dan peguam mewakili keluarga Amri menyoal siasat saksi, Mah bertanya sekiranya wakil polis dan Badan Peguam mempunyai sebarang soalan kepada Syed.
Pemerhati polis, Ketua Polis Sentul R. Munusamy menjawab mereka tidak mempunyai sebarang soalan dan begitu juga peguam daripada Badan Peguam.
Mah meluahkan rasa terkejutnya.
“Memandangkan dia (Syed) adalah saksi mata penting kes, (jika) tiada soalan bolehlah dikatakan semua yang diucap saksi diterima (oleh kedua-dua pemerhati).”
Sebelum itu, panel mendengar keterangan Syed yang menyaksikan kereta Toyota Fortuner milik Amri dihalang oleh tiga kereta pacuan empat roda dan dua kereta jenis sedan.
Syed memberitahu yang beliau baru pulang dari gym sekitar jam 12.30 tengah malam dan berhenti di lampu isyarat di Padang Behor dan menyaksikan kejadian itu.
“Saya sedang menunggang motosikal apabila saya lihat kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta.
“Mereka mengepung kereta Toyota Fortuner (milik Amri) dan seorang lelaki sasa dan tinggi keluar daripada kereta d depan dan buka pintu kereta Toyota itu.
Syed kemudiannya memberitahu panel yang beliau tidak berhenti dan terus pulang ke rumah.
“Bila saya pulang ke rumah saya beritahu tentang kejadian itu kepada ayah saya. Esoknya baru saya tahu yang Amri hilang daripada penghantar gas yang datang ke restoran kami,” katanya.
Amri yang berusia 43 tahun diculik dalam jarak 550m dari rumahnya di Padang Behor, Kangar, Perlis pada hujung 2016. Polis kemudian menemui keretanya di Bukit Chabang. Beliau mempunyai empat anak perempuan berusia antara 10 hingga 19 tahun dan seorang isteri.
Panel siasatan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Mah, dan dianggotai oleh Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.
Matlamat siasatan adalah untuk menentukan sama ada penculikan Amri, Pastor Raymond Koh dan dua lagi aktivis- Joshua dan Ruth Hilmy- pada 2016 adakah kes kehilangan paksa dilakukan pihak berkuasa negara ini. – 20 Mac, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan