MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan sekumpulan pengundi di Segamat untuk menyingkirkan 949 nama anggota tentera serta pasangan sebagai pengundi di kawasan Parlimen itu.
Hakim Kamaludin Md Said ketika menyampaikan keputusannya berkata nama pengundi tentera serta pasangan tersebut sudahpun diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan perkara itu kini tidak dapat dibantah lagi.
Beliau berkata keputusan itu selari dengan peruntukan Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958, iaitu larangan ke atas campur tangan mahkamah ke atas daftar pemilih yang diwartakan.
SPR juga sebelum ini memfailkan permohonan untuk mendapatkan penangguhan ke atas pewartaan pengundi di kem Segamat, yang kini masih dalam pembinaan.
SPR berhasrat untuk mewartakan nama dalam daftar pemilih dalam suku ketiga pada tahun lalu.
Kamaludin turut menolak permohonan 48 orang pengundi tersebut untuk mendapatkan penangguhan.
Pada Disember lalu, kumpulan pengundi berkenaan yang diketuai Abdul Wahab Hassan memfailkan permohonan untuk menyingkirkan nama pengundi baharu di kem tersebut.
Mereka memohon mahkamah mengeluarkan perintah bahawa usaha untuk menyertakan nama 949 nama pengundi tersebut tidak mengikut perlembagaan kerana individu berkenaan tidak menetap dalam kawasan tersebut.
Dalam satu afidavit untuk menyokong permohonan tersebut, pengundi berkenaan mendakwa terdapat banyak perkara yang tidak kena dikesan semasa satu siasatan awam dijalankan SPR.
Siasatan awam itu dijalankan pada 4 hingga 10 Disember tahun lalu.
Dalam pilihan raya umum 2013, kerusi Segamat dimenangi oleh Presiden MIC Dr S Subramaniam yang menewaskan Dr Chua Jui Meng dari PKR dengan 1,217 undi majoriti. – 20 Mac, 2018.
Komen