Putrajaya perlu beri pelitup muka percuma kepada pelajar


Ravin Palanisamy

KKM baru-baru ini cadang pemakaian pelitup muka di sekolah diwajibkan semula susulan penularan varian baharu Arcturus Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2023.

CADANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di sekolah disambut baik terutama ketika wujud kebimbangan susulan penularan varian baharu Covid-19, kata Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN).

Bagaimanapun, presidennya Mohamad Ali Hasan berkata KKM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil inisiatif dengan menaja kit permulaan pelitup muka untuk setiap pelajar, jika pemakaiannya diwajibkan semula.

“Buat permulaan, mungkin KKM dan KPM boleh menyediakan satu kotak pelitup muka secara percuma kepada setiap pelajar di seluruh negara.

“Ini akan menunjukkan kerajaan peduli dengan kesejahteraan rakyat, selaras dengan konsep madani,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kementerian itu mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula pemakaian pelitup muka di sekolah.

Zaliha berkata beliau akan bertemu dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara itu dan garis panduan serta prosedur operasi standard baharu akan dikeluarkan kepada pelajar sebelum sesi persekolahan dibuka semula pada 2 Mei.

Dengan ramai yang semakin bimbang dengan kes membabitkan varian baharu XBBB1.16 atau dikenali sebagai Arcturus, Ali berkata cadangan KKM itu amat bersesuaian pada masa ini.

“Menjaga kesihatan adalah keutamaan. Berkaitan dengan keadaan semasa, perlu dipertimbangkan juga keseriusan wabak itu, dan kemungkinan kes jangkitan baharu meningkat.

“Kita perlu ambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tidak berlaku lagi bebanan dan kesesakan di hospital. Persediaan awal perlu dilakukan,” katanya.

Selain memakai pelitup muka, Ali berkata sekolah juga perlu mematuhi langkah pencegahan lain dan mengikut SOP ditetapkan.

“Sekolah perlu ambil langkah terbaik untuk pelajarnya bagi memastikan keadaan mereka terpelihara. Mencegah lebih baik daripada merawat,” katanya.

Katanya, perlu juga digalakkan untuk pelajar dan guru menjalani ujian saringan setiap minggu bagi memastikan mereka bebas daripada virus itu.

Ali berkata lebih baik lagi jika kerajaan dapat memberi subsidi bagi kit ujian saringan Covid-19.

“Pelajar perlu patuh SOP ketat di sekolah. Ujian saringan berkala juga perlu dilakukan.

“Persoalannya ialah adakah sekolah akan dapat menyediakan kit ujian saringan atau tidak.

“Minta pelajar buat ujian saringan adalah langkah yang baik tetapi lebih bagus lagi jika sekolah dapat menyediakan ujian saringan kendiri. Lebih baik jika ia percuma untuk pelajar.

“Kos bagi kit ujian itu sepatutnya ditanggung KKM atau KPM,” katanya.

Semalam, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Muruga Raj Rajathurai berkata membasuh tangan dan memakai cecair pembasmi kuman lebih penting berbanding memakai pelitup muka di sekolah.

Katanya, sebagai langkah pencegahan tambaha, sekolah perlu mengarahkan guru dan pelajar melakukan ujian saringan kendiri sehari sebelum hadir ke sekolah. – 28 April, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen