Kelulusan EIA projek PSI bukti hipokrasi kerajaan DAP


SELEPAS Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2014, saya dengan sokongan DAP Johor menggerakkan satu kempen Impian Malaysia. Lebih khusus, kempen itu bertujuan untuk memelihara alam sekitar, membantu golongan nelayan yang susah menerusi bantahan kami terhadap projek tambakan laut di selatan Johor.

Usaha ini didukung orang kuat DAP negeri dan pimpinan utama khususnya Lim Kit Siang. Kerana kempen ini juga, saya dicop sebagai “Melayu anjing DAP”.

Tapi tak mengapa kerana ia proses saya mendewasa.

Bantahan kami atas projek tiga pulau yang besar ini berkait dengan isu dasar pembangunan yang melibatkan bukan saja implikasi undang-undang (kelulusan EIA), malah kesannya yang mengancam kehidupan biologi dan sumber protein rakyat.

Ia juga memberi kesan kepada mata pencarian nelayan pantai yang bergantung hidup di laut Selat Johor.

Namun, tak lama kempen itu berjalan, beberapa rakan dalam parti mendatangi saya dan berbisik agar saya mengendurkan kempen bantahan projek reklamasi laut itu atas sebab kerajaan Pulau Pinang akan buat projek yang sama.

Hari ini ketua menteri Pulau Pinang dengan bangganya menunjukkan kelulusan EIA untuk projek yang sudah lama mereka rancang itu.

Bagi saya, segala hujah dan rasional untuk menolak dasar dan aktiviti pembangunan yang tidak mapan hanyalah retorik untuk menarik perhatian rakyat dan simpati kepada parti.

Tidak ada dalam kepimpinan parti DAP satu sikap politik yang konsisten dan jujur dalam konteks memperjuangkan nasib rakyat khususnya yang menerima kesan secara langsung dalam sesuatu projek yang berskala besar.

Bagi saya, ini hipokrasi politik yang dilakukan secara terang-terangan. Ia pembohongan pada perjuangan.

Saya sedar semua ini berlaku kerana tekanan pembangunan termasuk juga tekanan politik untuk memuaskan ego pemimpin.

Dalam konteks pembangunan di Pulau Pinang, bagi saya keadaan lebih kritikal yang memerlukan usaha pembangunan ialah di kawasan Balik Pulau. Kawasan ini sudah lama terpinggir sejak zaman pemerintahan Gerakan lagi.

Namun, parti DAP yang dikatakan mampu memperbetulkan keadaan ini, lebih berminat melestarikan pembangunan di Georgetown, Bukit Mertajam dan kini Selatan Pulau Pinang.

Kawasan Balik Pulau terus terpinggir dalam arus pembangunan kerajaan “berbilang kaum” ini.

Begitulah hikmahnya apabila kerajaan meluluskan projek reklamasi laut di Pulau Pinang yang akhirnya menunjukkan betapa hipokritnya parti dan kerajaan DAP. – 27 April, 2023.

 * Mahdzir Ibrahim adalah timbalan ketua penerangan GTA.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen