Aktivis Bersih sertai DAP, mungkin bertanding PRU14 di Johor


Chan Kok Leong

Chew Chong Sin (tiga dari kanan) mengumumkan akan menyertai DAP dan mungkin bertanding pada PRU14 pada sidang akhbar yang turut dihadiri pemimpin DAP dan bekas pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah (dua dari kanan). – Gambar The Malaysian Insight, 20 Mac, 2018.

CHEW Chong Sin menjadi aktivis Bersih 2.0 yang kedua yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Anak kelahiran Kluang itu mengumumkannya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini dan akan menyertai DAP di Johor.

Penyertaan Chew, 45, itu diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Bulan lalu, bekas pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah mengumumkan penyertaannya dalam politik sebagai calon bebas, atas tiket Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, belum dapat disahkan sama ada Chew akan menjadi calon atau tidak.

Chew kini menjalankan perniagaan pendidikan di China. Beliau ialah bekas pengarah BPP Professional Education di China.

Beliau menubuhkan “Bersih Shanghai” pada 2012 dan menganjurkan banyak forum untuk aktivis persatuan sivil Malaysia dan pemimpin politik untuk berkongsi pandangan dengan masyarakat Malaysia di Shanghai.

Chew pernah menjadi aktivis pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan aktif dalam Jawatankuasa Hak Asasi Sivil (CRC) di Dewan Perhimpunan Cina Selangor selepas tamat pengajian, dan pernah bertugas sebagai setiausahanya pada 1998-2004, sebelum ke China.

Ketika PRU13, Chew kembali ke Malaysia untuk berkempen bagi pihak DAP di Kluang. Beliau juga membantu beberapa calon pembangkang lain pada PRU 1999 dan 2004.

Beliau juga penulis kolum “Mirror of Shanghai” di akhbar Oriental Daily, mengulas tentang isu ekonomi dan hal ehwal semasa.

Chew memperoleh ijazah pertamanya dalam bidang kewangan dari UKM dan mempunyai MBA dari Universiti Malaya.

Sidang akhbar hari ini turut dihadiri Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Maria, penyelidik Penang Institute Dr Wong Chin Huat dan Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin.

Liew berkata parti masih belum membuat keputusan sama ada Chew akan bertanding pada PRU14.

“Ia masih belum diputuskan lagi. Dan saya mahu menjelaskan yang Chew tidak akan bertanding di Kluang, seperti disiarkan media online tertentu semalam,” kata ketua pendidikan politik DAP itu.

Sementara itu, Chew berkata beliau membuat keputusan untuk menyertai politik kerana tidak sanggup melihat “skandal yang tidak habis-habis” tentang Malaysia.

“Ini bukan Malaysia yang saya kenal. Negara ini sepatutnya ada kedaulatan undang-undang dengan sistem yang adil, diketuai sekumpulan ahli politik berkualiti tinggi dan sistem pentadbiran awam yang efisien.

“Saya dan keluarga tinggal di Shanghai lebih 10 tahun di mana pemerhatian kami di luar negara selalunya seperti cermin. Ia buat kami terfikir kenapa Malaysia tidak boleh mencapai keseluruhan potensinya.

“Kita tidak boleh hidup dalam begini dan kekal sebagai pemerhati dan bertolak ansur dengan rasuah besar-besaran yang sedang berlaku,” katanya.

Maria mengalu-alukan penyertaan rakannya dalam Bersih itu ke dalam arena politik.

“Kita perlukan ramai individu sepertinya yang komited dengan pembaharuan agenda,” kata Maria. – 20 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • haih. dari ke perhimpunan sampai ke masuk parti. xpayah laa nk menyusahkan dalam bidang politik ni. biar je diorang ni buat kerja. xpayah nk sebok2. masuk parti laa apa bagai

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan