PUTRAJAYA setuju pada dasarnya untuk menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang namun terhad bagi perbelanjaan pentadbiran, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, perkara itu sedang diperhalusi dan dibincangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dengan pihak pembangkang dan akan diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Timbalan Perdana Menteri II yang uruskan, beliau yang mengadakan siri perbincangan bersama wakil pembangkang bagi memuktamadkan keputusan.
“Di peringkat awal kita setuju (beri peruntukan) untuk perbelanjaan pentadbiran, perkara ini akan diumumkan sendiri perdana menteri selepas semua (proses rundingan) selesai,” katanya seperti dipetik media di Baling, Kedah.
Kelmarin Fadillah berkata pentadbiran Anwar tidak menetapkan sebarang syarat kepada Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkan agihan peruntukan disalurkan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Katanya kerajaan hanya mahu pembangkang mengemukakan tawaran rasmi dalam urusan itu seperti yang dilakukan ketika pentadbiran Ismail Sabri sebelum ini.
Pada masa itu peruntukan disalurkan kepada pembangkang selepas perundingan dengan kerajaan yang membawa kepada termeterainya satu memorandum persefahaman antara Putrajaya dan Pakatan Harapan (PH).
“Saya sudah beberapa kali memberitahu mereka supaya membuat tawaran hitam putih kerana selagi kita tidak menerima tawaran rasmi, maka tidak akan berlaku perundingan,” kata Fadillah seperti laporan media kelmarin. – 27 April, 2023.
Komen